Memartabatkan Islam seiring pembangunan negeri 

KERAJAAN negeri Perak sentiasa berusaha dalam memartabatkan agama Islam seiring dengan pembangunan negeri.

Pelbagai pendekatan strategik dilakukan bagi menarik minat khususnya generasi muda bagi terus memartabatkan agama Islam di negeri ini.

Antara pertubuhan yang amat komited dan bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti berkaitan Islam adalah Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam’iyah Perak).

Sejarah penubuhan organisasi yang bermula pada tahun 1949 ini pada awalnya dikenali sebagai cawangan Persekutuan Seruan Islam Se-Malaya, bukan sahaja menjadi institusi dakwah, tetapi juga dianggap sebagai benteng pertahanan akidah umat Islam di negeri ini.

Mengimbau kembali pada awal penubuhannya, organisasi ini berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kekurangan sumber dan tentangan daripada pihak-pihak tertentu.

Bagaimanapun, berkat kesungguhan dan ketekunan ahli-ahli yang komited, organisasi ini terus berkembang dan memainkan peranan yang amat penting dalam masyarakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tanpa pengorbanan, usaha gigih, dan dedikasi mereka yang terlibat, pertubuhan ini tidak akan mencapai kejayaan dan kedudukannya pada hari ini.

Menurutnya, pertubuhan ini memperolehi sumber kewangan daripada tanaman sawit dan menjadi pendapatan tetap kepada mereka.

“Justeru, kerajaan negeri akan melihat bagaimana mereka boleh menambah pendapatan dan dana untuk pembangunan pertubuhan ini.

“Ini supaya pertubuhan tersebut akan dihormati dan disegani serta berada di tengah-tengah pembangunan negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam’iyah Perak), di sini, hari ini.

Memartabatkan Islam seiring pembangunan negeri 
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 61 Persekutuan Seruan Islam Perak (JAM’IYAH Perak) di Kompleks Persekutuan Seruan Islam Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 SEPTEMBER 2024.

Sementara itu, beliau turut menyeru supaya setiap masjid di negeri ini menubuhkan koperasi masing-masing.

“Masjid boleh diwujudkan sekiranya ada sekurang-kurangnya 40 lelaki dan syarat untuk tubuh koperasi perlu ada 20 orang ahli. Jadi, tiada sebab kalau koperasi tidak ditubuhkan di sebuah masjid.

“Sebab itu saya minta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi Unit Masjid supaya menubuhkan koperasi. Bila ada koperasi, ada lembaga pengarah, ada kerja boleh dibuat untuk menjana pendapatan,” ujarnya.

Sementara itu, Saarani berkata, selepas pandemik Covid-19 melanda, agenda pelan Perak Sejahtera 2030 dilaksanakan bagi membangunkan semula negeri ini.

Katanya, orang Islam perlu menonjol bukan setakat buka kitab tetapi ada kerja yang boleh dilakukan untuk masyarakat.

“Orang Islam seperti kita hendaklah bersedia untuk membangun bersama-sama dengan apa yang kerajaan negeri sedang buat. Sebab itu saya bagitahu semua masjid supaya tubuh koperasi masjid.

Memartabatkan Islam seiring pembangunan negeri 
Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Jika ada 400 lelaki solat Jumaat dan kalau 400 jadi ahli koperasi banyak benda boleh buat, dengan syarat segala perkara diurus dengan jujur dan baik.

“Di luar negara koperasi menjadi gerakan ekonomi yang hebat sebab ia datang daripada sumber pendapatan orang ramai dan duit akan kembali semula kepada orang ramai,” katanya.

Justeru, beliau berharap, umat Islam di negeri ini bukan sahaja akan bersama-sama dalam memartabatkan agama Islam malah membangunkan Perak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan suram – Sultan Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI