Memorial Muzium KD Hang Tuah hidupkan semula sejarah pertahanan negara

LUMUT – Memorial Muzium Kapal Diraja (KD) Hang Tuah bukan sekadar projek pemuliharaan warisan, malah memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan sendiri sebahagian daripada sejarah pertahanan negara, di samping membuka lembaran baharu kepada pembangunan kawasan pesisir Lumut-Manjung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi sentuhan dan perancangan yang betul, sebuah kapal yang dahulunya mempertahankan negara boleh terus berbakti dalam cara berbeza sebagai pusat pendidikan, tarikan pelancongan dan pemangkin ekonomi rakyat.

“Saya membayangkan suatu hari nanti, ibu bapa akan membawa anak-anak mereka menaiki Kapal Diraja Hang Tuah dan mereka bukan hanya melihat dek, ruang kawalan atau kelengkapan yang pernah digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Sebaliknya, mereka sedang menyaksikan sebahagian daripada sejarah pertahanan negara yang selama ini hanya mereka baca di dalam buku.

“Justeru, mereka akan pulang dengan satu kefahaman bahawa keamanan yang kita nikmati pada hari ini lahir daripada keberanian dan pengorbanan anggota-anggota keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada TLDM kepada Kerajaan Negeri Perak di Himpitan 1, Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Memorial Muzium KD Hang Tuah hidupkan semula sejarah pertahanan negara
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Kerajaan Negeri Perak di Pangkalan TLDM Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF 27 JULAI 2026.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) Datuk Anuar Zainal Abidin.

Pada masa yang sama, Saarani berkata, kehadiran lebih ramai pengunjung akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan, pengusaha makanan, pengusaha inap desa, penyedia perkhidmatan pelancongan serta pelbagai sektor sokongan yang lain.

“Akhirnya, warisan yang kita pelihara hari ini akan kembali berjuang memberi manfaat kepada ekonomi setempat dan kesejahteraan rakyat.

“Legasi perjuangan KD Hang Tuah akan diteruskan di Lumut, bandar yang bukan sahaja sinonim dengan TLDM, malah telah berkembang seiring dengan sejarah, jasa dan pengorbanan warga TLDM selama beberapa dekad.

“Hubungan itu terus diperkukuh apabila Lumut diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim pada tahun 2009.

“Sejak itu, identiti bandar ini bukan sahaja dibentuk oleh keindahan pesisir pantainya, malah turut diperkukuh oleh peranan besarnya dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara.

“Saya percaya, apabila Memorial Muzium KD Hang Tuah dibangunkan di sini, ia tidak hanya melengkapkan landskap pelancongan negeri, malah mengembalikan sebuah kapal yang penuh sejarah ke tempat yang benar-benar memahami nilai perjuangan dan pengorbanannya,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Memorial Muzium KD Hang Tuah bakal dibuka 2027

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI