Monsun: KPKT peruntuk RM20 juta selenggara parit

SUNGAI SIPUT – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM20 juta bagi menyelenggara sistem perparitan di seluruh negara sebagai usaha menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kerja-kerja penyelenggaraan di semua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sedang giat dijalankan. 

Justeru katanya KPKT meminta agar semua pegawai kerajaan yang terlibat untuk memantau kerja-kerja berkenaan bagi memastikan pihak kontraktor melaksanakannya mengikut jadual yang ditetapkan. 

“Dasar kerajaan jelas, semua pegawai kerajaan khususnya pimpinan barisan tertinggi daripada termasuk menteri, setiausaha, yang dipertua PBT, dan pegawai daerah wajib turun padang setiap minggu. 

“Semua pegawai kerajaan ini wajib turun padang dan jika boleh (kerap) berada di padang (lapangan). Kerana ini adalah cara terbaik untuk kita menyelami perasaan dan mendengar rintihan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan kerja Program Sentuhan Kasih KPKT di Pasar Awam Sungai Buloh, dekat sini pada Isnin. 

Antara hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee. 

Selain itu, Kor Ming berkata KPKT memperuntukkan sebanyak RM1.65 juta bagi tujuh projek menyelenggara kolam tadahan kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi tujuan mengelakkan daripada berlakunya banjir kilat. 

Katanya projek berkenaan membabitkan tujuh kolam tadahan iaitu di Taman Muhibbah Jaya, Kampung Muhibbah Rimba Panjang, Taman Lintang Makmur, Persiaran Kledang 8, RPA Salak, Kampung Baru Salak 1 serta Kampung Salak Baru/Salak Utara. -MG Perak. 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI