TELUK INTAN – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diminta mempertimbangkan untuk mencantikkan Menara Condong Teluk Intan yang menjadi bangunan ikonik di kawasan ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menara yang sudah menjangkau usia 139 tahun itu menjadi simbol tampak (simbol lokasi) khususnya untuk penduduk di Teluk Intan dan sekitarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya MOTAC memberikan peruntukan untuk menaik taraf menara bersejarah berkenaan.
“Justeru, mana-mana bangunan, tapak sejarah atau tokoh yang mengharumkan nama bagi sesuatu tempat ini harus disohorkan.
“Wang bukan sebagai satu kekangan atau masalah, yang penting wang itu boleh digunakan untuk mempromosikan produk (pelancongan dan seni) untuk kepentingan negara, negeri dan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Majlis Penganugerahan Bakat Muda Sezaman (BMS) 2023 di Dataran Menara Condong, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya berkata, pemilihan lokasi Menara Condong ini bertepatan sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
“Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa konsep ‘Seni dan Lokasi’ yang diperkenalkan dalam BMS ini mendapat sambutan yang sangat baik dan menggalakkan dari masyarakat setempat yang berbilang budaya dan generasi.
“Inisiatif ini turut menyokong TMP 2024 yang sedang berlangsung. Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa melalui pelbagai program dirancang termasuklah melalui segmen art tourism,” jelasnya.
Pada program itu, anak kelahiran Sungai Manik, Mohamad Zulkefli Mohamad Jais, 28, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama BMS 2023 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 30,000 manakala empat pemenang yang dipilih untuk menerima Anugerah Juri membawa pulang wang tunai berjumlah RM 15,000.
Selain itu, 10 peserta dengan undian tertinggi juga dipilih bagi Pilihan Pelawat (Atas Talian) dan Pilihan Pelawat (Di Lokasi) masing-masing menerima wang tunai bernilai RM1,000.
Pertandingan BMS masih pada edisi kali ini menerima sebanyak 68 penyertaan awal dan 47 daripadanya berjaya ke peringkat penjurian dan hanya 15 peserta yang layak ke peringkat akhir. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
CSSB labur RM105 juta promosi 11 lokasi pelancongan di Perak