IPOH – Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat disyaki menjadi punca kepada nahas jalan raya sehingga mengorbankan dua beradik di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Puteh dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam nahas itu, mangsa Nur Amira Balqis Armi, 22, dan adiknya, Tsa Muhammad Armirul, 15, yang masing-masing menaiki skuter jenis Honda Beat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan sekitar jam 10.35 pagi itu melibatkan sebuah MPV yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun dengan motosikal dinaiki dua mangsa.
“Kenderaan MPV terbabit dalam perjalanan menuju ke Ipoh Garden dan ketika tiba persimpangan lampu isyarat berkenaan, pemandu telah meneruskan perjalanan kerana dikatakan lampu isyarat warna hijau.
“Motosikal yang ditunggangi dan dibonceng dua mangsa telah datang dari arah kanan sebelum melanggar bahagian tepi kanan MPV tersebut.
“Kemalangan itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Tambah beliau, nahas jalan raya itu tidak melibatkan kesesakan lalu lintas, walau bagaimanapun pihak polis sedang mengesan saksi bebas di tempat kejadian bagi membantu siasatan.
Kata Abang Zainal Abidin, ini kerana kawasan kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu media melaporkan, dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah MPV.
Mangsa, Nur Amira Balqis, sedang dalam perjalanan untuk menghantar adiknya, Tsa Muhammad Armirul, ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet di sini sebelum terlibat dalam nahas jalan raya berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: