NCIA biaya RM15 juta bangunkan Projek Pelancongan Warisan Ipoh

IPOH – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), memperuntukkan RM15 juta bagi Projek Pelancongan Warisan Ipoh (IHT) untuk membangun dan menaik taraf pelbagai infrastruktur kemudahan tarikan pelancong di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pakej pertama projek tersebut melibatkan Padang Ipoh dan Kinta Riverwalk yang menelan belanja sebanyak RM4 juta telah siap pada 8 Mac 2022.

Beliau berkata, pakej kedua bernilai RM11 juta yang melibatkan kerja-kerja naik taraf Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama pula dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

“Kedua-dua bangunan ini (Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama) adalah bangunan warisan dan berkait rapat dengan kenangan warga Ipoh.

“Mungkin sebelum ini terdapat kekangan untuk menggunakan bangunan tersebut tetapi dengan usaha naik taraf dan baik pulih di bawah IHT, kemudahan ini telah bersiap sedia untuk beroperasi semula,” katanya.

NCIA biaya RM15 juta bangunkan Projek Pelancongan Warisan Ipoh
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching (tengah) menyaksikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (kiri) menerima replika kunci penyerahan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama daripada Ketua Wilayah Perak dan Pulau Pinang Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Fauzan Ismail. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 JUN 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Isnin.

Tambah beliau, keempat-empat kawasan tersebut terletak di kawasan Pekan Lama (Old Town) serta berkait rapat dengan kawasan pelancongan dan warisan.

Katanya, kerja-kerja pemuliharaan, baik pulih dan naiktaraf bangunan Dewan Bandaran Ipoh sebagai pusat persembahan seni manakala bangunan Pejabat Pos Lama sebagai galeri karya-karya seni dan digital.

Pada majlis itu, Ketua Wilayah NCIA Perak dan Pulau Pinang, Fauzan Ismail menyerahkan kunci Dewan Bandaran kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Rumaizi kemudiannya menyerahkan kunci Pejabat Pos Lama kepada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara yang diwakili Ketua Pengarah, Amerrudin Ahmad.

Dalam pada itu, Sandrea berkata projek itu secara tidak langsung dapat mempergiatkan industri muzik di Ipoh selepas diiktiraf dalam senarai Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik pada 2023.

“Dewan Bandaran Ipoh khususnya sangat bersesuaian apabila tahun lalu Ipoh tersenarai dalam rangkaian bandar keatif untuk kategori muzik.

“Kemudahan dewan ini yang berkapasiti lebih 500 penonton. Jadi, kita sudah bersiap sedia serta mengalu-alukan pelbagai program aktiviti konsert muzik dan kebudayaan boleh diadakan di Ipoh.

NCIA biaya RM15 juta bangunkan Projek Pelancongan Warisan Ipoh
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching meninjau sekitar Bangunan Dewan Bandaran Ipoh dan Pejabat Pos Lama pada Majlis Penyerahannya kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 JUN 2024.

“Selepas penyerahan ini, MBI akan membuat persediaan untuk menambah baik persiapan terakhir dan kita jangka akhir tahun ini kita bersiap sedia jika ada program yang hendak dianjurkan di dewan ini.

“Usaha ini bukan sahaja berkaitan pelancongan tetapi berkait rapat dengan kebudayaan dan usaha untuk menaikkan nama Ipoh dan menggiatkan industri muzik persembahan dan kebudayaan,” jelasnya.

Beliau berharap, usaha tersebut akan mendapat sambutan dan akan membawa impak yang baik khususnya dalam meningkatkan ekonomi untuk sektor pelancongan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak Sejahtera 2030: Ipoh bandar Muzik semarakan kesenian di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI