NCIA melalui NTIC tarik pelabur dalam dan luar negara ke Perak

IPOH – Pusat Inovasi Teknologi Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NTIC) yang diterajui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), berjaya memudahkan kerjasama antara syarikat multinasional dan tempatan khususnya dalam menarik pelabur di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang dilaksanakan NCIA itu sangat signifikan dalam menjayakan agenda kerajaan negeri untuk meningkatkan ekosistem dan kumpulan bakat.

“Inisiatif NCIA ini telah berjaya menarik pelaburan, memupuk perniagaan tempatan dan memperkasakan komuniti.

“Kami berharap meneruskan kerjasama dengan NCIA untuk terus menarik pelaburan, memupuk inovasi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perak, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, NCIA juga bekerjasama dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini untuk terus berkembang dan berdaya saing.

Ujar beliau, dalam usaha merangsang perkembangan PMKS, NCIA menerusi program Dana Usahawan NCER telah memberi manfaat kepada 10 buah syarikat di Perak dengan agihan dana lebih RM16 juta.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pihaknya akan terus komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perak bagi membangunkan serta melaksanakan strategi yang akan meningkatkan daya tarikan Perak kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, NCIA terus memainkan peranan penting di Perak dalam melaksanakan program berteraskan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) di Perak.

Jelas beliau sehingga kini, seramai 5,333 peserta telah menjalani latihan kemahiran TVET itu bagi melengkapkan diri untuk pasaran pekerjaan yang berkembang maju.

Katanya lagi, NCIA juga komited untuk memupuk PMKS dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti untuk penduduk tempatan.

“PMKS ini termasuk melibatkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian moden. Hasil daripada usaha tersebut, NCIA berjaya manarik kemasukan lebih RM480 juta pelaburan langsung domestik (DDI) daripada lebih 8,700 perusahaan tempatan sejak 2019,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Haris berkata dalam sektor pelancongan pula, pihaknya telah membantu membangunkan semula Taman Eko Rimba Lata Kinjang, dengan menaiktaraf pelbagai kemudahan untuk pelancong.

Malah menurutnya, NCIA juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang (KOALK), bagi menguruskan kawasan pelancongan berkenaan yang berupaya meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

“Sejak dibuka pada tahun 2022, Taman Eko Rimba Lata Kinjang telah berjaya menarik seramai lebih 110,000 pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus membantu KOALB menjana pendapatan sebanyak RM1.27 juta,” katanya lagi. -MG Perak

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI