Op Dadu: 23 premis judi dipotong bekalan elektrik

IPOH – Sebanyak 23 premis di sekitar bandar raya ini yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik menerusi Op Dadu pada Jumaat lalu dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bertujuan menghapuskan kegiatan haram tersebut daripada terus berleluasa.

Menurutnya, kegiatan yang berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dan aksesori telefon itu hanya diketahui ‘pelanggan’ tertentu sahaja.

“Kebanyakan premis yang terlibat bertopengkan perniagaan sah tetapi menjalankan aktiviti judi dalam talian yang menyalahi undang-undang.

“Malah, ada juga premis yang masih berdegil melakukan kesalahan berterusan.

Anggota Polis menahan seorang dipercayai pekerja judi dalam talian ketika operasi bersepadu pemotongan elektrik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sebuah premis dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di sekitar Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 OKTOBER 2023

“Justeru, kita mengambil tindakan tegas dengan melakukan pemotongan bekalan elektrik supaya ejen atau sindiket terlibat tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya kepada media sewaktu operasi pemotongan bekalan elektrik dijalankan di sekitar Ipoh pada Jumaat.

Dalam pada itu, Yahaya berkata premis yang diserbu itu dipercayai didalangi ejen atau sindiket berbeza berdasarkan jenis ‘game’ (permainan) menerusi aplikasi judi yang ditawarkan.

“Ejen atau sindiket ‘game’ yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini berbeza-beza. Ada yang menawarkan ‘top up’ untuk bermain judi online tersebut,” katanya.

Katanya, pada operasi yang dijalankan pada Jumaat lalu dan hari ini hanya satu tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI