Pegawai kanan polis ditahan bantu siasatan kemalangan maut calon SPM

IPOH – Seorang pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan pelajar tingkatan lima di Taman Jati, di sini tengah hari tadi ditahan dan akan direman esok bagi siasatan lanjut.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati kemalangan ini membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan sebuah motosikal jenis Yamaha.

Menurutnya, penunggang motosikal seorang lelaki berusia 17 tahun didapati meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahaya berkata, polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyeb 302 Kanun Keseksaan.

“Kita tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawai polis yang terlibat sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.

“Sehubungan itu, orang awam yang mengetahui atau melihat kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163,” jelasnya.

Beliau turut meminta orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Terdahulu, tular di foto dan video di media sosial berhubung kejadian kemalangan yang membabitkan pelajar terbabit berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seorang rentung, dua cedera dalam kemalangan antara van dan lori

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI