Calon SPM maut dilanggar layak terima pampasan takaful – Exco

PARIT – Keluarga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang maut dalam kemalangan jalan raya akibat langgar lari berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, layak menerima pampasan takaful berjumlah RM7,000.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, setiap pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dilindungi oleh Skim Perlindungan Murid di bawah bantuan pembelajaran iaitu Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM).

Menurut Khairudin pampasan berkenaan akan diberikan kepada waris Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, selepas siasatan lengkap pihak berkuasa selesai.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Perak menzahirkan rasa simpati dan salam takziah kepada keluarga mangsa dan saya percaya perancangan dan tindakan khusus sedang dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi membantu keluarga mangsa.

“Pihak JPN akan menyusun dan memastikan arwah mendapat pampasan sepatutnya melibatkan manfaat perlindungan TPSM berjumlah RM5,500 serta Khairat Kematian Takaful Murid sebanyak RM1,500,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Berkhatan Beramai-ramai Madani Parit 2023, di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini, pada Sabtu.

Mengulas mengenai insiden kemalangan tersebut Khairudin berkata, kejadian itu merupakan peristiwa yang cukup mengejutkan dan menyifatkan pemergian mangsa sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga malah juga orang ramai.

Beliau berkata, ini memandangkan mangsa merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bakal menduduki peperiksaan Januari depan.

“Ia merupakan peristiwa yang cukup mengejutkan kerana arwah merupakan calon SPM 2023 dan difahamkan jenazah telah selamat dikebumikan malam tadi,” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan seorang pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan melibatkan seorang pelajar tingkatan lima di Taman Jati, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Zaharif Affendi, maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Susulan itu, seorang pegawai polis direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu direman sehingga Isnin. -MG Perak

Artikel Berkenaan:

Pegawai kanan polis ditahan bantu siasatan kemalangan maut calon SPM

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI