Pengerusi NGO tidak mengaku salah guna gelaran ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf

IPOH – Seorang pengerusi organisasi bukan kerajaan (NGO) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, pada Rabu atas pertuduhan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ yang tidak diiktiraf.

Tertuduh, Saiful Sharma Abdullah, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang duda itu didakwa sebagai seorang yang tidak berhak menggunakan dan menikmati gelaran dan panggilan ‘Datuk Seri’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, pada 31 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa dengan menggunakan dan menikmati gelaran tersebut pada surat memohon kelulusan untuk menganjurkan Majlis Ulang Tahun Ke-9 Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak di lokasi dan tarikh berkenaan.

Saiful Sharma didakwa mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Berhubung Dengan Anugerah 2017 yang mana dia boleh dihukum di bawah akta sama.

Mahkmah Majistret Ipoh Saiful Sharma Abdullah Datuk Seri tidak mengaku salah Ipoh Perak
Saiful Sharma Abdullah, 52, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ yang tidak diiktiraf.

Ekoran itu, dia berdepan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Namun, peguam yang mewakili tertuduh, Teeban Kummar memohon agar jumlah jaminan minimum dikenakan atas alasan anak guamnya menghidap penyakit kronik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sebelum itu, menurut fakta kes, tertuduh telah mengemukakan surat memohon kelulusan untuk menganjurkan majlis ulang tahun persatuannya atas nama pemohon ‘Dato Seri Saiful Sharma bin Abdullah’, di IPD Ipoh, pada Oktober lalu.

Selepas meneliti surat tersebut, pihak polis mendapati lelaki yang juga pengerusi persatuan itu disyaki telah menyalahgunakan Jata Persekutuan di dalam surat permohonan tersebut, serta menggunakan gelaran Datuk Seri yang diragui. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dua beradik dihadapkan ke mahkamah rompak guna pisau, parang

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI