IPOH – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri dipilih sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri Perak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Khamis.
Usul pemilihan Ahli Dewan Negara atau Senator itu dibawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sementara nama Ketua Pegawai Khas di Pejabat Ahli Parlimen Tambun itu diusulkan Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja) selaku pencadang wakil kerajaan.
Sementara pembangkang mencalonkan Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria yang dicadangkan Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi).
Pemilihan Mohamad Hairul Amir diputuskan Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas berjaya mendapat 33 undi ADUN mengatasi calon yang diusulkan pembangkang.
Mohamad Hairul Amir dipilih sebagai Ahli Dewan Negara negeri Perak bagi menggantikan tempat Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang tamat penggal sebagai Senator selepas dipilih pada Mei 2023.
Pada Disember 2024, DUN Perak memilih mengekalkan Ketua Bahagian UMNO Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd. Ghaffar sebagai Ahli Dewan Negara buat penggal kedua.
Mohamad Hairul Amir, 38, anak kelahiran Tambun mendapat pendidikan tinggi di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sains Politik dan menjawat jawatan sebagai Pengerusi PKR Perak sejak tahun 2024.
Selain berkhidmat di Pejabat Ahli Parlimen Tambun, beliau juga berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak serta Ahli Jawatankuasa Audit Bebas dan Bukan Eksekutif di sebuah syarikat swasta.
Ketika mengusulkan nama, Shy Ching berkata, Mohamad Hairul Amir mempunyai pengalaman yang luas dalam pelbagai bidang dan didedahkan secara langsung dalam urusan pentadbiran dasar serta hal ehwal rakyat di peringkat parlimen serta Persekutuan.
“Kita harapkan (Mohamad Hairul Amir) dapat memberikan khidmat terbaik, membawa suara rakyat Perak, serta memperjuangkan kepentingan negeri di peringkat Dewan Negara,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


