IPOH – Penglibatan aktiviti sukan dalam kalangan masyarakat disifatkan masih berada pada tahap sederhana, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurutnya, berdasarkan kepada kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) 2022 mencatatkan skor keseluruhan 52.0, di mana peratusan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan hanya pada tahap 48 peratus sahaja.
“Perkembangan ini tentunya menjadi cabaran buat kita semua kerana kita perlu menerima hakikat bahawa budaya sukan merupakan cerminan kepada keupayaan negara dalam melahirkan insan yang cergas dan cerdas sebagai modal insan memajukan negara.
“Perlu difahami, pembudayaan sukan bukan hanya semata-mata bagi pencarian jaguh dunia dalam ekosistem industri sukan tanah air, tetapi jauh lebih penting, ia berupaya membentuk masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.
“Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dalam kalangan masyarakat yang kini menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani sejak beberapa tahun terbelakang ini.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri, Nor Azah Ahmad Dahalan.
Mengulas tentang program, Saarani berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif yang digerakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Sambutan Hari Sukan Negara itu yang disifatkan selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang mensasarkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sebagai pemangkin pembangunan negeri.
Dalam perkembangan berasingan beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2024 berhubung komitmen kerajaan persekutuan untuk memperbanyakkan lagi program sukan dan riadah serta inisiatif Program Perkhemahan Keluarga.
“Kerajaan negeri sangat menyambut baik pengumuman perdana menteri dalam Belanjawan 2024 semalam mengenai komitmen kerajaan persekutuan untuk memperbanyakkan lagi program sukan dan riadah untuk rakyat termasuk Program Kemahiran Sukan Renang untuk kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Kerajaan negeri juga berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas pengumuman inisiatif mewujudkan Program Perkhemahan Keluarga dengan merakyatkan fasiliti KBS untuk tujuan perkhemahan dengan kadar minimum di enam Kem Wawasan Negara termasuk di Ulu Kenas, Kuala Kangsar,” katanya lagi. -MG Perak.
[…] Penglibatan aktiviti sukan dalam masyarakat masih sederhana – Saarani […]