MDPT kemuka permohonan naik taraf Stadium Mini Kampung Gajah

IPOH – Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk kerja-kerja menaik taraf fasiliti dan kemudahan sukan di stadium mini dan gelanggang tenis di Kampung Gajah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, permohonan berkenaan telah dikemukakan MDPT kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Suka saya maklumkan bahawa pihak MDPT mempunyai perancangan jangka panjang bagi mewujudkan kemudahan fasiliti sukan yang lengkap di kawasan Kampong Gajah untuk dimanfaatkan oleh penduduk penduduk setempat, penggiat sukan tempatan, golongan belia dan juga pelajar sekolah.

“Dan sudah tentulah, kemudahan ini secara tidak langsung berkait rapat dalam membantu perkembangan sukan Negeri Perak bagi melahirkan atlet-atlet khususnya dari kawasan luar bandar selain menjadi tempat riadah serta rekreasi bagi
penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zafarulazhan Zan (PN – Kampung Gajah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, antara skop kerja yang dipohon MDPT bagi menaik taraf Stadium Mini Kampung Gajah melibatkan pemasangan empat set lampu limpah mengunakan mentol jenis LED dengan LUX dengan keseluruhan 600 lux.

Ujar beliau, MDPT juga turut memohon pembinaan balapan lumba lari dari jenis ‘rubber poliuretana’ serta kerja – kerja naik taraf padang dengan pemasangan ‘sub soil drain’ dan juga penanaman rumput jenis ‘cow grass’.

“Selain itu MDPT turut memohon peruntukan daripada KBS untuk menaik taraf tempat duduk penonton dan juga grandstand serta menaik taraf permukaan padang futsal, pagar serta sistem pencahayaan.

“Namun begitu, bagi gelanggang tenis sedia ada pula, kawasan tersebut akan di tukar fungsi menjadi dataran parkir kenderaan bagi Dewan Serbaguna Kampong Gajah,” katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja itu, skop kerja berkenaan termasuk di dalam kerja-kerja menaiktaraf dewan yang akan dilaksanakan oleh pihak Pejabat Pembangunan Negeri Perak (ICU). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penglibatan aktiviti sukan dalam masyarakat masih sederhana – Saarani

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI