Penglibatan wanita banyak membantu perkukuh sistem kesihatan negara

IPOH – Wanita telah membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin yang cemerlang serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negara termasuk dalam sektor kesihatan.

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Perak, Dr Monesh Pillai berkata, Perak antara negeri bertuah kerana mempunyai ramai tokoh wanita yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, penglibatan wanita dalam pelbagai bidang profesional kesihatan terus berkembang apabila semakin ramai tampil sebagai pakar perunding, pensyarah universiti, penyelidik, pengarah hospital, pentadbir kesihatan dan pemimpin organisasi profesional.

“Mereka bukan sahaja merawat pesakit, malah membentuk dasar kesihatan, melatih generasi doktor masa hadapan serta menerajui penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Apa yang lebih membanggakan ialah ramai daripada mereka melaksanakan semua tanggungjawab ini sambil mengimbangi peranan sebagai ibu, anak, isteri dan penjaga keluarga.

“Pengorbanan inilah yang sering kali tidak kelihatan, namun menjadi antara asas kekuatan sistem kesihatan negara,” katanya.

Penglibatan wanita banyak membantu perkukuh sistem kesihatan negara
Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Perak, Dr Monesh Pillai ketika berucap pada Majlis Simposium ‘Women in Medicine 2026’ di AC Hotel by Mariott, Ipoh, hari ini. Foto Syakir Yusof

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Simposium ‘Women in Medicine 2026’ yang dirasmikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di AC Hotel by Mariott di sini hari ini.

Dalam pada itu, Monesh berkata, dunia kesihatan kini berdepan pelbagai cabaran baharu termasuk isu kesihatan mental, peningkatan penyakit tidak berjangkit, populasi yang semakin menua, transformasi digital serta perkembangan pesat kecerdasan buatan yang memerlukan penyelesaian inovatif dan kepimpinan berpandangan jauh.

“Justeru, kita memerlukan lebih ramai wanita berada di meja membuat keputusan, bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai pemimpin yang membantu membentuk masa depan sistem kesihatan negara.

“Kita percaya bahawa apabila wanita diberi peluang untuk memimpin, seluruh masyarakat akan menerima manfaatnya.

“Kepimpinan wanita membawa perspektif yang lebih menyeluruh, nilai empati yang tinggi serta pendekatan yang lebih berpusatkan insan nilai-nilai yang amat penting dalam profesion perubatan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Peranan wanita penting dalam sistem penjagaan kesihatan – Tuanku Zara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI