IPOH – Polis berjaya menumpaskan menumpaskan sindiket penipuan gores dan menang yang memperdaya dua wanita warga emas dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa jongkong emas, sejak tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejayaan itu susulan siasatan terhadap dua laporan polis yang diterima melibatkan kejadian penipuan berasingan di Ipoh pada Oktober tahun lalu dan di Taiping pada Jun ini.
Katanya, bertindak atas maklumat itu pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berjaya menahan empat suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Melaka pada jam 5.30 pagi, 19 Jun lalu.

“Pihak polis kemudian berjaya menahan seorang lagi suspek dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Telok Panglima Garang, Selangor, pada hari sama.
“Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita tempatan yang berusia antara 22 hingga 40 tahun,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Isnin.
Mohd Alwi berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas sembilan telefon bimbit, sembilan kad sim, sebuah tablet, 16 keping baucar cabutan bertuah, pakaian dan kasut yang dipercayai digunakan ketika memperdaya mangsa serta enam beg silang.

Menurut beliau, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM10,000 dan semua suspek direman selama empat hari hingga 23 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mohd Alwi berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan warga emas dengan menggunakan helah cabutan bertuah sebelum meminta mangsa menyerahkan barang kemas dan maklumat perbankan bagi mendapatkan hadiah yang dijanjikan.
Ujar beliau, bagi kes pertama, seorang wanita berusia 62 tahun yang bekerja sebagai pencuci telah didatangi dua lelaki dan seorang wanita ketika berada di sebuah pasar raya di Ipoh pada 3 Oktober 2025.
Ujar Mohd Alwi, mangsa kemudian dibawa menaiki kenderaan suspek sebelum diminta memusing roda cabutan bertuah dalam sebuah tablet sebelum dimaklumkan kononnya memenangi jongkong emas seberat 150 gram.
“Bagi mendapatkan hadiah tersebut, mangsa diminta menyerahkan barang kemas yang dipakai untuk ditimbang selain memberikan kad mesin juruwang automatik (ATM) serta nombor pin, tanpa menyedari ia adalah suatu penipuan.
“Suspek seterusnya berjanji akan hubungi kembali mangsa untuk menyerahkan jongkong emas.
“Namun suspek tidak datang kembali dan gagal dihubungi oleh mangsa, selain wanita itu mendapati wang dari akaun bank telah dikeluarkan sebanyak RM600. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM18,600,” katanya.
Beliau berkata, dalam kejadian kedua di Taiping pada 14 Jun lalu, seorang lagi wanita berusia 62 tahun yang juga seorang pencuci turut diperdaya selepas menerima panggilan telefon memaklumkan dia memenangi hamper cabutan bertuah.
Mohd Alwi berkata, mangsa kemudian diarahkan untuk ke Stesen Bas Taiping sebelum dipujuk masuk ke dalam sebuah kenderaan yang dinaiki dua wanita dan seorang lelaki.
“Mangsa diberikan hamper dan diminta menyertai cabutan bertuah menggunakan aplikasi pada sebuah tablet sebelum dimaklumkan memenangi jongkong emas seberat 100 gram, tanpa menyedari ia adalah jongkong emas palsu.
“Mangsa kemudiannya menyerahkan beberapa barang kemas termasuk rantai leher, dan anting-anting untuk menyertai cabutan bertuah itu beberapa kali. Suspek juga kemudian tidak datang kembali dan gagal dihubungi. Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM59,000,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Phone scam: Warga emas lesap lebih RM150,000


