IPOH – DAP yakin ‘gelombang merah’ Pakatan Harapan (PH) akan bermula di negeri Perak pada pilihan raya akan datang, sekali gus menjadi titik perubahan landskap baharu terhadap perkembangan politik tanah air.
Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan merangkap Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming berkata, Perak mempunyai keunikan tersendiri kerana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang mampu disatukan menerusi politik yang membina.
“Ini adalah satu titik permulaan kepada ‘tsunami rakyat’ atau gelombang merah yang saya yakin akan bangkit di bumi bertuah Perak Darul Ridzuan.
“Kita percaya bahawa Perak bukan Johor, Perak bukan Negeri Sembilan. Perak meraikan kepelbagaian dan semangat kebersamaan dalam satu keluarga besar bersama PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 DAP di Buntong, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Naib Pengerusi DAP Perak merangkap Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan serta pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, rakyat kini memerlukan politik yang berteraskan kepada integriti, tadbir urus baik dan reformasi, bukannya pendekatan politik lama yang hanya mengutarakan sentimen semata-mata.
Beliau berkata, kestabilan politik dan dasar kerajaan yang jelas serta bersih penting bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap negara serta pengukuhan nilai mata wang terus dipertahankan.

Menurut Kor Ming, prestasi ekonomi dan pencapaian Perak dalam beberapa sektor misalnya berjaya membuktikan kerajaan negeri mampu membawa hasil yang boleh dinilai berdasarkan fakta, dan bukannya persepsi.
“Politik yang stabil, dasar yang jelas dan kerajaan yang bersih adalah tiga faktor penting yang menjadi kunci kejayaan negara, dan kita perlu mempertahankan kedudukan itu.
“Selain daripada sektor pelancongan dan nilai pelaburan yang tinggi, Perak berjaya merekodkan lebihan daripada belanjawan negeri pada tempoh empat tahun berturut-turut.
“Prestasi jangan kalah kepada persepsi, biar fakta bicara dan bukan auta bicara (kerana rakyat berhak menilai berdasarkan rekod serta pencapaian sebenar),” katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa masih terdapat pihak tertentu yang menggunakan sentimen perkauman dan agama pada mana-mana siri pilihan raya bagi meraih sokongan rakyat.
Beliau berkata, politik tidak seharusnya menjadi persaingan untuk membangkitkan perbezaan antara kaum, sebaliknya ia perlu berteraskan kepada persaingan dasar dan keupayaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Sekiranya permainan persepsi ini terus berlarutan, kita bimbang ia memberi mesej bahaya tentang perkembangan politik tanah air yang mana ahli politik tidak perlu kerja atau berkhidmat, sebaliknya tiba musim pilihan raya, hanya bermain dengan sentimen.
“Kita tidak mahu politik seperti itu kerana pada abad ke-21, ia memerlukan politik yang membina, iaitu bersaing untuk menawarkan dasar dan berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat. Saya merayu jangan biarkan prestasi kalah kepada persepsi,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
PM Anwar mohon DAP Melaka tangguh keputusan keluar daripada kerajaan negeri


