Perak kukuhkan keselamatan siber, sasar wujudkan ‘command centre’ pada 2027

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi memperkukuh keselamatan siber dan ketahanan data sebagai persediaan awal penubuhan pusat kawalan utama atau ‘command centre’ negeri.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, pusat kawalan berkenaan bukan hanya memberi tumpuan kepada pengurusan bencana alam, sebaliknya mempunyai pelbagai fungsi termasuk pelengkap kepada elemen bandar pintar.

“Command Centre Perak ini istimewa kerana ia bukan ‘command centre’ yang fokus kepada bencana alam semata-mata, sebaliknya bersifat ‘multipurpose’ dan mempunyai beberapa elemen termasuk Smart City.

“Kita sebenarnya sudah lama membuat persiapan ini, dan elemen yang diperlukan itu juga sudah dapat dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis pertukaran dua MoU antara Digital Perak bersama CSM dan Novus Transact (Malaysia) Sdn Bhd, sempena Konvensyen Inovasi Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Selasa.

Mohd Azlan berkata, keseluruhan peruntukan bagi penubuhan pusat kawalan utama negeri yang akan diselaraskan Digital Perak itu melibatkan peruntukan melebihi RM100 juta.

Jelas beliau, ia merupakan sebahagian peruntukan RM300 juta disalurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang turut merangkumi kos kendalian, latihan dan operasi pusat kawalan berkenaan.

“Ini tidak terhenti di sini kerana apabila kita sudah ada ‘command centre’, kita memerlukan satu tempat untuk memproses data yang dikumpulkan dan perkara ini sedang dalam persiapan kertas cadangan oleh Digital Perak,” katanya.

Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri turut merancang mewujudkan ‘Perak Research and Innovation Centre’ yang akan berperanan sebagai pusat pemprosesan data atau pemangkin kepada pusat kawalan utama negeri berkenaan.

Jelas beliau, pusat itu akan menggunakan elemen kecerdasan buatan (AI) bagi membantu kerajaan negeri membuat analisis dan ramalan lebih tepat, sekali gus menyokong proses membuat keputusan kerajaan negeri.

“Kita akan membawa perkara ini kepada kementerian berkaitan kerana usaha mewujudkan pusat kawalan utama ini melalui MCMC, manakala Perak Research and Innovation Centre akan dibawa kepada pihak kementerian untuk pertimbangan.

“Saya meramalkan pada tahun 2027 akan menjadi tahun yang gemilang untuk Perak apabila kita akan dapat mewujudkan pusat kawalan utama yang kita nanti-nantikan itu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerjasama Digital Perak bersama CSM bagi tempoh dua tahun memberi tumpuan kepada program kesedaran, latihan, pensijilan profesional, penilaian keselamatan serta khidmat nasihat berkaitan tadbir urus perlindungan data.

Tambah beliau, kerjasama berkenaan turut meneroka keperluan ‘Security Operations Centre as a Service’ (SOCaaS) dengan sasaran melibatkan antara 1,000 hingga 1,500 peserta dan 15 hingga 25 organisasi di seluruh Perak.

Jelas Mohd Azlan, program itu diunjurkan membabitkan nilai sekitar RM1.5 juta yang merangkumi pelbagai inisiatif kesedaran, latihan, pensijilan, penilaian dan pengukuhan kapasiti keselamatan siber.

Dalam perkembangan sama, MoU Digital Perak bersama Novus Transact (Malaysia) Sdn Bhd pula memberi tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pendekatan ‘Growth-as-a-Service’ dengan memanfaatkan teknologi digital dan AI.

Melalui Digital Perak MSME Growth Programme, sebanyak 200 PMKS akan dipilih sebagai kumpulan perintis sebelum diperluaskan secara berperingkat dengan sasaran sehingga 7,000 PMKS secara kumulatif dalam tempoh empat tahun.

Antara komponen program termasuk peluasan etalase digital dan platform e-dagang, pembayaran digital, alat peningkatan produktiviti serta sokongan pelanggan berasaskan AI, selain pembangunan Perak MSME Growth Index bagi mengukur perkembangan PMKS secara lebih tersusun. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Ancaman siber semakin meningkat, 5,735 insiden direkod

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI