Perak laksanakan 100 libat urus Pelan Komunikasi Strategik NR-REE

IPOH – Pelan Komunikasi Strategik unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) Perak telah menjalankan 100 sesi libat urus dengan pelbagai pihak sejak tahun 2021.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelan komunikasi itu diadakan sebagai usaha antaranya menyebarkan maklumat berkenaan aktiviti perlombongan bahan mineral berkenaan.

Katanya, usaha yang dijalankan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) itu turut melibatkan sesi libat urus merangkumi lawatan tapak dari agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, wakil rakyat serta lebih 100 penerbitan laporan media dan penulisan artikel yang berkaitan.

“Terkini, penglibatan bersama para penyelidik daripada universiti tempatan untuk memastikan program ini dilaksanakan mengikut landasan yang dikehendaki .

“Pelan ini juga mempunyai Jawatankuasa Komunikasi Krisis yang dianggotai oleh lebih 21 agensi yang berkaitan untuk memastikan program ini berjalan lancar dan mengatasi kemungkinan krisis yang akan berbangkit.

“Tidak terkecuali, dalam memupuk kesedaran dan kepentingan NR-REE melalui program pendidikan, Pelancaran Eco-Schools Perak: Pendidikan Lestari Cikgu Saarani @ Perak Sejahtera telah bermula semenjak 2021 di 30 buah sekolah di seluruh Perak.

“Program Eco-Schools ini adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MB Inc, dioperasikan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Program ini telah dilancarkan oleh pada 13 Oktober 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahaya (BN-Rungkup) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Tambah Saarani, Program Eco-Schools itu juga selari dengan usaha kerajaan negeri dalam memperhebatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar menerusi Kempen Perak Bumi Lestari dan menyebarluaskan pengetahuan berkaitan mineral-mineral termasuk NR-REE.

“Diharapkan dengan adanya pelan komunikasi ini, pembangunan industri NR-REE di Negeri Perak dapat dibangunkan dengan cekap dan teratur seterusnya menjadi model kepada negeri-negeri lain.

“Melalui pelaksanaan yang efektif, ia bukan sahaja dapat memberi pulangan kepada ekonomi negara, malahan dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak sedang teliti kaedah untuk elak kecurian NR-REE

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI