Perak rancang Program ‘Adopt A Tok Perak’ urus peningkatan warga emas

IPOH – Kerajaan Negeri Perak merancang melaksanakan Program ‘Adopt A Tok Perak Sejahtera 2027’ atau Program Cucu Angkat susulan peningkatan populasi warga emas di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program berkenaan dicadangkan sebagai antara pendekatan untuk memastikan warga emas terus dihargai dan berperanan dalam masyarakat.

“Melalui pendekatan ini, warga emas boleh berperanan sebagai mentor, sumber ilmu, pemelihara warisan dan pembimbing generasi muda,” katanya ketika menjawab soalan lisan V. Bavani (PH-Malim Nawar) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Rabu.

Salbiah berkata, usaha mengurus isu penuaan penduduk perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada aspek kebajikan semata-mata.

Jelas beliau, ini kerana perubahan demografi itu turut memberi kesan terhadap kesihatan, tenaga kerja, perumahan, pengangkutan, sistem penjagaan, institusi keluarga serta ekonomi negeri.

Beliau berkata, data pada tahun lalu menunjukkan sebanyak 15.3 peratus daripada kira-kira 2.6 juta penduduk Perak merupakan golongan berusia 60 tahun ke atas, sekali gus menjadikan negeri itu mempunyai kadar warga emas tertinggi di Malaysia.

Dalam pada itu ujar Salbiah, pada masa ini belum terdapat insentif atau dasar negeri yang dikhaskan sepenuhnya kepada pesara dan warga emas produktif, namun terdapat skim insentif negeri yang dikhaskan sepenuhnya kepada kumpulan tersebut.

“Rangkaian 18 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Perak menjadi platform penting untuk memastikan golongan ini kekal aktif. Sebahagian PAWE telah menjalankan aktiviti kemahiran, penghasilan produk, pertanian komuniti dan kegiatan penjanaan pendapatan.

“Antara pendekatan khusus yang sedang diteliti ialah latihan digital dan pemasaran, pembangunan produk, ruang niaga komuniti, koperasi warga emas, pekerjaan fleksibel, pangkalan data bakat pesara serta program mentor dan kesukarelawanan,” katanya lagi.

Beliau berkata, Ipoh dan Taiping yang menyertai Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Warga Emas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 2019 turut dijadikan model rintis untuk penambahbaikan sebelum pendekatan itu disesuaikan dan diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

Jelas Salbiah, status Perak sebagai negeri menua tidak seharusnya dilihat sebagai beban kebajikan semata-mata kerana ia berpotensi membuka peluang baharu dalam bidang penjagaan, kesihatan, teknologi, perumahan, pelancongan dan keusahawanan.

“Prinsip kerajaan negeri jelas warga emas mesti diberikan peluang untuk meniti usia dengan sihat, selamat, berdikari, produktif dan bermaruah,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Warga emas jana pendapatan, bina keyakinan menerusi ‘Bazaar by Seniors’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI