Warga emas jana pendapatan, bina keyakinan menerusi ‘Bazaar by Seniors’

IPOH – Golongan warga emas bukan sahaja memerlukan penjagaan kesihatan, malah perlu diberi peluang untuk terus menyumbang kepada ekonomi dan berdikari menerusi aktiviti keusahawanan berskala kecil.

Justeru, Kelab Kesejahteraan Keluarga Ipoh (Family Wellness Club Ipoh) membuka peluang berkenaan menerusi penganjuran ‘Bazaar by Seniors’ yang menyediakan ruang kepada golongan tersebut untuk menjalankan jualan dan menjana pendapatan sendiri.

Pengerusinya, Mangaleswary Ponnampalam berkata, penganjuran bazar ini diadakan selepas pihaknya melihat sendiri cabaran yang dihadapi sebahagian warga emas, khususnya mereka yang tinggal bersendirian dan mempunyai sumber pendapatan terhad.

Menurutnya, Perak antara negeri yang berdepan peningkatan jumlah penduduk berusia, sekali gus memerlukan perhatian bukan sahaja dari aspek kesihatan dan penjagaan, tetapi juga peluang untuk golongan berkenaan kekal produktif.

Warga emas jana pendapatan, bina keyakinan menerusi ‘Bazaar by Seniors’
Golongan warga emas menjalankan jualan dan menjana pendapatan sendiri menerusi aktiviti keusahawanan berskala kecil di Bazaar by Seniors anjuran Kelab Kesejahteraan Keluarga Ipoh (Family Wellness Club Ipoh) di YMCA Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 SEPTEMBER 2026.

Katanya, keadaan itu mendorong kerajaan memberi lebih perhatian kepada keperluan warga emas, termasuk kemudahan kesihatan, hospital, penjagaan dan fasiliti yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Sebelum ini kami pernah menganjurkan pelbagai program sempena Hari Warga Emas sejak tiga hingga empat tahun lalu, termasuk program berkaitan kesihatan, penuaan sihat, serta ceramah bersama pakar perubatan keluarga.

“Namun, tahun ini kami melihat ada satu lagi masalah di Ipoh. Kadangkala golongan ini, suami isteri, tinggal sendiri dan mereka tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi.

“Idea untuk mengadakan bazar ini tercetus selepas menemui seorang lelaki warga emas yang menjual barangan di sebuah pasar lambak untuk menampung kehidupan harian.

Warga emas jana pendapatan, bina keyakinan menerusi ‘Bazaar by Seniors’
Pengerusi Kelab Kesejahteraan Keluarga Ipoh (Family Wellness Club Ipoh), Mangaleswary Ponnampalam. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 SEPTEMBER 2026.

“Ini menunjukkan warga emas terbabit sebenarnya masih mempunyai keupayaan untuk bekerja dan berdikari, namun memerlukan peluang serta sokongan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui di YMCA Ipoh, di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, kelab tersebut mengambil pendekatan lebih menyeluruh dengan tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan, sebaliknya memanfaatkan pengalaman serta pengetahuan yang dimiliki golongan berkenaan.

“Kalau sudah bekerja selama 30 atau 40 tahun dan sekarang sudah bersara, mengapa tidak buat sesuatu untuk diri sendiri? Tidak perlu bekerja untuk orang lain, tetapi boleh buat perniagaan sendiri,” jelasnya.

Mangaleswary berkata, konsep bazar itu memberi ruang kepada warga emas menjalankan perniagaan kecil-kecilan yang boleh dilakukan dari rumah, termasuk menyediakan makanan dan menjual produk buatan sendiri.

Warga emas jana pendapatan, bina keyakinan menerusi ‘Bazaar by Seniors’
Golongan warga emas menjalankan jualan dan menjana pendapatan sendiri menerusi aktiviti keusahawanan berskala kecil di Bazaar by Seniors anjuran Kelab Kesejahteraan Keluarga Ipoh (Family Wellness Club Ipoh) di YMCA Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 SEPTEMBER 2026.

Katanya, setiap gerai dalam program berkenaan perlu diketuai seorang warga emas berusia 60 tahun ke atas, manakala pihak penganjur membantu mengenal pasti minat dan kebolehan peserta.

“Selepas itu, kami adakan sesi bimbingan, buat kumpulan WhatsApp dan ajar mereka beberapa asas perniagaan. Ada antara mereka daripada golongan B40 dan langsung tidak tahu mengenai idea perniagaan.

“Antara perkara yang diberi penekanan termasuk penampilan diri, kebersihan, pengendalian makanan dan cara menyediakan gerai supaya kelihatan lebih menarik.

“Dari situ kami lihat mereka sedikit demi sedikit mereka menjadi lebih berminat. Apabila ada minat, lebih mudah untuk kami membantu mereka,” jelasnya.

Warga emas jana pendapatan, bina keyakinan menerusi ‘Bazaar by Seniors’
Golongan warga emas menjalankan jualan dan menjana pendapatan sendiri menerusi aktiviti keusahawanan berskala kecil di Bazaar by Seniors anjuran Kelab Kesejahteraan Keluarga Ipoh (Family Wellness Club Ipoh) di YMCA Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata, perubahan itu dapat dilihat menerusi keadaan gerai peserta yang dihias dan disusun dengan lebih menarik.

“Kalau dilihat semua gerai mereka, semuanya dibuat dengan cantik kerana kami meminta mereka mengambil berat berhubung penampilan dan personaliti masing-masing.

“Bazar berkenaan menyaksikan penyertaan 18 peniaga warga emas yang menawarkan pelbagai produk, antaranya nasi lemak kampung, kuih-muih, kuih India, barangan terpakai, barang perhiasan wanita dan hasil kraf,“ ujarnya.

Katanya, inisiatif itu bukan semata-mata bertujuan menangani masalah kesihatan warga emas, sebaliknya memberi penekanan kepada aspek produktiviti dan keupayaan mereka untuk terus menyumbang kepada ekonomi.

Tambahnya, bazar seperti ini mempunyai potensi untuk diperluaskan sekiranya mendapat sokongan organisasi atau agensi yang lebih besar pada masa hadapan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak perkukuh usaha pastikan warga emas kekal sihat, aktif, berdikari

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI