Perak sedia laksana undang-undang kekalkan kerajaan hingga akhir penggal

IPOH – Kerajaan Perak bersedia untuk melaksanakan undang-undang khas bagi membolehkan sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) meneruskan atau mengekalkan pentadbiran hingga akhir penggal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan bersedia untuk dibawa ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya ia telah diluluskan di Parlimen berdasarkan kepada Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, cadangan itu wajar dalam memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri lebih kukuh dan bebas daripada sebarang gangguan pihak-pihak lain.

“Sekiranya undang-undang itu diluluskan di Parlimen, maka Kerajaan Negeri Perak akan mengikut. Ia sama seperti proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang mana sebaik sahaja diluluskan di Persekutuan, negeri akan menyusul.

“Dalam soal cubaan menukar kerajaan ini, ia bukan sahaja mengganggu minat pelabur (untuk melabur ke Perak), malah melibatkan juga perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

“Apabila kita laksanakan polisi kerajaan negeri seperti pelan Perak Sejahtera 2030, maknanya kakitangan kerajaan jelas dengan hala tuju kita.

“Namun, jika kerajaan terumbang-ambing, kakitangan kerajaan pun tidak berani hendak melaksanakan polisi itu sebab mereka pun tidak tahu apa yang akan terjadi selepas itu,” katanya.

Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa ketika hadir ke Sidang Media Konvensyen Perpaduan Negeri Perak di Bangunan UMNO Negeri Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 JANUARI 2024.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Konvensyen Perpaduan Negeri Perak di Bangunan UMNO Negeri, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Saarani sebelum itu ditanyakan sama ada kerajaan negeri bersedia untuk menggubal undang-undang khas membolehkan kerajaan Persekutuan yang dibentuk meneruskan pentadbiran hingga akhir penggal.

Perkara itu diutarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dengan dilaporkan berkata, sekiranya ia diperkenalkan, kerajaan dapat memberi fokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berpandangan, cadangan itu diutarakan rentetan wujud khabar angin rancangan menumbangkan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ‘Langkah Dubai’.

“Jika pelaksanaan undang-undang itu boleh menutup mulut dan peluang (mana-mana pihak hendak tumbangkan kerajaan), dengan memberi peluang kerajaan mentadbir hingga tamat penggal, ia adalah langkah baik.

“Dalam mesyuarat Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak) yang saya pengerusikan tadi pun, kita ambil kira soal ini.

“Jika setiap minggu ada sahaja pihak yang mendakwa sudah ada cukup sokongan akuan bersumpah (SD), maka pelabur akan kurang yakin dengan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata sekiranya undang-undang berkenaan tidak dilaksanakan sama ada di negeri atau Persekutuan, undang-udang sedia ada seperti Akta Antilompat Parti memadai untuk menghalang daripada sebarang cubaan menumbangkan kerajaan.

“Dalam hal ini, semua pihak harus berfikir yang mana Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini mempunyai sokongan 157 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

“Jadi, saya tidak faham mengapa soal Langkah Dubai ini dibangkitkan, melainkan ia hanya sekadar sabotaj politik untuk menakut-nakutkan pelabur,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

DUN Perak lulus RUU Wasiat Orang Islam

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI