Perak tidak langgar peraturan eksport REE – Saarani

IPOH – Kerajaan negeri Perak tidak melanggar peraturan apabila mengeksport unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) ke China memandangkan sebelum ini tiada larangan dikeluarkan untuk melaksanakan aktiviti berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi hanya dibuat pada 11 September lalu selepas lebih 10 bulan hasil mentah lantanid yang dilombong di Mukim Kenering, Hulu Perak dieksport.

Menurutnya, Perak adalah negeri pertama yang diberikan kebenaran untuk menjalankan projek perintis bagi melombong REE di kawasan seluas 0.047 hektar.

“Pertamanya kena ingat, industri NR-REE ini dia bermula di Perak dan Perak yang diberi kebenaran untuk melakukan pilot projek ini ke atas 216 ekar (0.047 hektar) pertama.

“Kita buat sebagai pilot projek mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan kementerian masa itu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

“Pada waktu itu, kita telah berjaya untuk mengeluarkan hasil NR-REE ini mengikut SOP yang ditetapkan dan kita jual dia untuk melihat harganya pasarannya berapa nak menentukan sama ada berbaloi ke tak berbaloi kita mengeluarkan hasil bumi ini

“Masa itu belum ada pengumuman oleh Perdana Menteri, maka Perak telah mula menjualnya mulai Januari sehinggalah bulan 10 kita telah dapat RM16 juta, malahan difahamkan sehingga hujung tahun ini akan dapat RM21 juta, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Ulang Tahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta dan International Geopark Run sempena Program Hari Rendah Karbon Ipoh di Persiaran Dewan Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri akan memohon supaya NRECC dapat mengeluarkan garis panduan khusus mengenai perkara tersebut secepat mungkin.

“Walaupun semua negeri dikatakan ada NR-REE tapi Perak sahaja yang dibenarkan malahan kita minta kebenaran, kita ada 5,399 ekar (2.47 hektar) lagi yang telah lulus EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) dan kementerian telah benarkan kita untuk meneruskan ke atas tanah ini.

“Maknanya kita akan teruskan dan kita minta moratorium diberi kepada Perak sebab kita kena jual sehingga nanti kementerian ada ketetapan tertentu baru kita buat.

“Sebab bila tak jual, bermakna kita kena proses sendiri dalam negara ini. How to process it? Kilang pun tak ada lagi. Jadi kita perlu diberi moratorium itu,” jelasnya.

Semalam media melaporkan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tindakan kerajaan Perak yang mengeksport NR-REE sedangkan kerajaan melarang sebarang eksport berkaitan sumber bahan mentah yang bernilai tinggi

itu.Menurutnya NR-REE mampu menjadi potensi pendapatan negara yang amat besar, justeru kerajaan perlu memastikan dasar larangan eksport NR-REE dipatuhi.  – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI