Perak tunggu pelan induk pembangunan Proton City

TANJUNG MALIM – Kerajaan negeri Perak sedang menunggu pelan induk daripada Proton berkaitan pembangunan Proton City yang dijangka akan diterima pada November ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saraani Mohamad berkata jawatankuasa berhubung pelan pembangunan di kawasan itu sudah dibentuk dan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa yang dianggotai beberapa agensi lain termasuklah Lembaga Air Perak, Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional Berhad dan pihak berkuasa tempatan bertujuan untuk merangka pelan pembangunan tersebut.

“Pertama, kita perlu melihat pelan pembangunan sebenar Proton. Mereka kena beritahu pada kita apa sebenarnya yang mereka nak buat kepada kita dan di peringkat kerajaan negeri ini hanya nak facilitate dan memenuhi supaya sesuai dengan  kehendak mereka.

“Jadi setakat ini Datuk SS (Setiausaha Kerajaan Negeri) sudah pun mengadakan mesyuarat dan kita sedang tunggu master plan daripada Proton sebab semua agensi pelaksana ini sokongannya sudah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Fasiliti Pemasangan Kerusi Kereta Baharu EPMB di Kawasan Perindustrian Proton, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata pelan induk tersebut perlu diberikan segera supaya segala perancangan dapat dilaksanakan menjelang tahun 2027.

“Kita juga perlu menyediakan perancangan jangka panjang dari segi penyediaan kawasan tambahan jika diperlukan memandangkan tanah kerajaan yang terhad di kawasan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau menyifatkan kejayaan membangunkan Fasiliti Pemasangan Kerusi Kereta Baharu itu sebagai satu lagi manifestasi kerjasama strategik yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi khususnya di kawasan Tanjung Malim.

Katanya, pembangunan fasiiti baharu oleh EPMB itu akan menjadi nilai tambah kepada usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan perancangan membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di daerah ini.

“Dari perspektif yang lain pula, pembangunan AHTV Tanjung Malim di Selatan Perak ini adalah antara contoh yang paling ideal bagi menggambarkan kesungguhan Kerajaan Negeri membawa lebih banyak pelaburan masuk ke Perak,” jelasnya. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI