Perhilitan sahkan harimau dahan mati dilanggar kenderaan

IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak mengesahkan penemuan seekor harimau dahan yang mati di Kilometer 253.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Trong menghala ke Beruas, di sini, semalam.

Pengarahnya, Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata, bangkai harimau jantan itu ditemukan sekitar jam 3 petang selepas pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, bangkai haiwan yang ditemukan dalam keadaan kembung dan busuk itu telah diambil semalam dan akan dilupuskan PERHILITAN.

“Haiwan itu dipercayai berusia lima tahun dengan berat 20 kilogram dan kita percaya harimau dahan itu telah dilanggar kenderaan dua hari sebelumnya berdasarkan keadaan bangkai.

“Harimau dahan adalah spesis yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 22 saat yang dimuat naik di Facebook Pusat Khidmat Adun Changkat Jering kira-kira jam 8 malam tadi menunjukkan keadaan harimau yang terbaring di tepi penghadang besi lebuh raya berkenaan.

Ini adalah kejadian kemalangan pertama membabitkan hidupan liar di Seksyen 11 WCE menghubungkan Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas yang baru dibuka pada 12 Mac lalu.

Dua terowong laluan haiwan atau ‘animal box culvert’ dibina merentasi Hutan Simpan Bubu pada jajaran WCE sebagai lintasan haiwan liar di jajaran sepanjang 35.5 kilometer (km) itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Harimau ditemukan mati di tepi penghadang besi WCE

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI