PERUMAHAN bukan sekadar isu pembangunan fizikal, sebaliknya menjadi penanda aras kesejahteraan sesebuah negeri kerana memiliki rumah bukan sahaja memenuhi keperluan asas, malah memberi jaminan kestabilan ekonomi dan sosial kepada sesebuah keluarga.
Atas hakikat itu, Kerajaan Negeri Perak meletakkan sektor perumahan sebagai antara keutamaan dalam agenda Perak Sejahtera 2030 dengan matlamat memperluaskan peluang pemilikan rumah kepada rakyat mengikut kemampuan masing-masing.
Pendekatan tersebut menunjukkan perubahan fokus daripada sekadar meningkatkan jumlah pembinaan kepada memastikan lebih ramai rakyat benar-benar mampu memiliki rumah sendiri.
Prinsip itu penting kerana kejayaan sektor perumahan tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah projek yang diluluskan atau unit yang dibina, sebaliknya sejauh mana rumah tersebut dapat didiami oleh golongan sasar.
Pada masa sama, sektor hartanah juga memainkan peranan besar sebagai pemacu ekonomi negeri apabila merangsang industri pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menggerakkan pelbagai sektor sokongan.
Di Perak sendiri pasaran hartanah menunjukkan gambaran positif apabila sebanyak 44,116 transaksi bernilai RM12.87 bilion direkodkan sepanjang 2025 selain sektor kediaman menyumbang 27,465 transaksi dengan nilai RM6.63 bilion.
Angka itu membuktikan permintaan terhadap hartanah di Perak masih kukuh, namun ia belum semestinya menggambarkan kemampuan sebenar rakyat untuk memiliki rumah.
Ini kerana realitinya, harga purata rumah di Perak mencecah RM287,003 pada 2025, sedangkan pendapatan penengah isi rumah negeri hanya sekitar RM4,687 sebulan pada 2024.
Jurang antara harga rumah dan pendapatan isi rumah itu menjadi cabaran utama yang perlu ditangani kerana ia memberi kesan langsung kepada kadar pemilikan kediaman.
Pada masa sama, sebanyak 3,943 unit rumah siap dibina masih belum terjual sehingga penghujung 2025, sekali gus memberi isyarat bahawa isu sebenar bukan kekurangan bekalan, tetapi ketidakpadanan antara penawaran dengan kemampuan pembeli.
Situasi itu menunjukkan pembinaan rumah perlu dirancang secara lebih strategik dengan mengambil kira lokasi, harga dan keperluan sebenar masyarakat.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani dalam ucapan beliau berkata, Kerajaan Negeri mula mengalih pendekatan kepada perancangan pembangunan yang lebih berasaskan data supaya setiap keputusan dibuat berpandukan realiti pasaran, bukannya andaian.
Beliau berkata, langkah memperkukuh tadbir urus sektor hartanah turut diterjemahkan apabila Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dipertanggungjawabkan sebagai agensi penyelaras utama bagi urusan penetapan dan pelepasan lot kuota Bumiputera.
“Pemusatan fungsi yang sebelum ini dikendalikan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak dijangka mampu mempercepatkan proses, mengurangkan pertindihan serta menyediakan sistem penyampaian yang lebih jelas kepada semua pihak.
“Dalam era pembangunan moden, penggunaan data menjadi elemen penting bagi memastikan dasar yang digubal benar-benar memenuhi kehendak semasa. Sehubungan itu, pembangunan Dashboard Hartanah@Perak dilihat sebagai antara pembaharuan paling signifikan dalam pengurusan sektor hartanah negeri,” katanya.
Beliau berkata, platform berkenaan membolehkan kerajaan memantau status pembangunan projek, jumlah unit, kategori perumahan serta mengenal pasti projek sakit dan terbengkalai secara lebih menyeluruh.
“Lebih penting, dashboard tersebut menjadi instrumen utama dalam merancang keperluan penyediaan 57,407 unit rumah sehingga tahun 2030 selain membantu mengesan lebih awal ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan.
“Apabila fasa kedua sistem itu siap kelak, kerajaan dijangka memiliki pangkalan data lebih lengkap berkaitan penjualan, pemilikan serta pelepasan lot Bumiputera bagi membolehkan dasar digubal secara lebih tepat dan responsif,” katanya.
Beliau berkata pada Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak 2026 yang turut menyaksikan pelancaran Booklet Hartanah Bumiputera Negeri Perak yang akan dijadikan rujukan rasmi yang menghimpunkan maklumat berkaitan prosedur, syarat, tatacara dan aliran permohonan perumahan.
Dalam aspek pemilikan Bumiputera pula, Kerajaan Negeri mengekalkan pendirian bahawa kejayaan dasar kuota tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah lot yang diperuntukkan semata-mata.
Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila lebih ramai Bumiputera berjaya memiliki hartanah, sekali gus membina aset keluarga dan meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.
Bagi memperkukuh pelaksanaan dasar itu, LPHP memperkenalkan Prosedur Penetapan dan Pelepasan Lot Kuota Bumiputera menerusi Pekeliling Bilangan 2 Tahun 2026 yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Prosedur baharu tersebut memperjelaskan tanggungjawab semua pihak, menyeragamkan proses permohonan serta mewujudkan mekanisme yang lebih telus dan konsisten dalam pengurusan lot Bumiputera.
Turut diperkenalkan ialah kaedah penetapan kuota berdasarkan komposisi penduduk setiap kawasan Dewan Negeri menggunakan data MyCensus 2020, sekali gus membolehkan dasar dilaksanakan mengikut realiti demografi setempat.
Secara keseluruhannya, hala tuju sektor perumahan Perak kini memperlihatkan perubahan daripada pendekatan berorientasikan kuantiti kepada strategi yang lebih menyeluruh, berasaskan data dan memfokuskan pemilikan sebenar.
Jika pelaksanaan dasar, kerjasama pemain industri serta akses pembiayaan dapat bergerak seiring, usaha memperkasakan pemilikan rumah bukan sahaja mampu merancakkan ekonomi negeri, malah merealisasikan aspirasi menjadikan kediaman sebagai asas kesejahteraan setiap keluarga di negeri ini. -MG Perak


