Pesara LAP didenda RM10,000 terima rasuah

IPOH – Seorang pesara Lembaga Air Perak (LAP) didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM6,000.

Tertuduh Mohd Zulhairi Mohd Zailani, 61, membuat pengakuan tersebut selepas faham pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Jurutera Kanan LAP di Pusat Operasi LAP Wilayah Barat, Taiping, menerima wang tunai berjumlah RM6,000 daripada Mohamed Maslan Sheikh Mohamed Noor dari November 2011 hingga Februari 2018.

Perbuatan itu dilakukan dengan suatu balasan sebagai upah bagi memperakukan tuntutan bayaran kerja Syarikat Mohamed Maslan Sheikh Mohamed Noor untuk kerja-kerja menyelenggara dan membaiki paip air di LAP Wilayah Barat meliputi kawasan Larut, Matang dan Taiping.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Hakim Datuk Ibrahim Osman kemudian menjatuhi hukuman denda RM10,000 dan penjara sebulan jika gagal melunaskan denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor bersama Pegawai Pendakwa Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI