Pesta Sukan Air Kuala Kangsar Kembali selepas 15 tahun

IPOH – Selepas 15 tahun menyepi Pesta Sukan Air Kuala Kangsar kini kembali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak dan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA).

Lebih bermakna lagi apabila Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 itu dianjurkan bersempena ulang tahun ke-10 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersemayam diatas takhta singgahsana Kerajaan Negeri Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, kali terakhir Pesta Sukan Air Kuala Kangsar dianjurkan adalah pada 2009 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

“Buat julung kalinya setelah sekian lama tidak diadakan, kini kemeriahan Pesta Sukan Air Kuala Kangsar akan kembali mengubati nostalgia sukma rakyat.

“Acara yang dinantikan ramai ini akan berlangsung selama dua hari bermula pada 26 sehingga 27 Oktober 2024 di Dataran Lembah Sungai Perak, Kuala Kangsar,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas, di sini, pada Isnin.

Mohd Zahidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Sukan Air berkata, pihaknya turut menyasarkan lebih 50,000 pengunjung dari Perak dan luar negeri ini akan hadir memeriahkan suasana pesta air tersebut.

Katanya, Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 menyajikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Saksikan aksi-aksi menarik dalam pelbagai kategori seperti Lumba Perahu Naga, Lumba Kayak, Jet ski, Bot Berhias dan pertunjukan Flyboard, Jetsurf, Lift efoils Board yang pastinya mengujakan.

“Pertandingan sukan air ini melibatkan 12 jajahan (daerah) d Perak dengan pertandingan lumba Jet Ski turut melibatkan penyertaan peserta dari Thailand dan Singapura,” katanya.

Selain pertandingan sukan air, PestaSykan Air Kuala Kansgar 2024 turut menyediakan pertandingan permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, gubahan buah-buahan, mewarna, zumba dan banyak lagi.

Turut diadakan pertandingan Bola Sepak Jalanan 3 Lawan 3, Netball 3 Lawan 3, Tiang Licin, dan Pukul Bantal.

Anak-anak muda juga tidak ketinggalan dengan pertandingan menarik seperti Breakdance, E-Sport, Kaligrafi Cina, Kolum, Pakaian Etnik Dan Busana, Pertandingan Hotwheels, serta Pertandingan Kereta Kawalan Jauh (RC). -MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI