Polis kesan dua suspek pecah rumah libat kerugian lebih RM1.2 juta

IPOH – Polis mengesan dua lelaki disyaki terbabit dalam kejadian pecah rumah dan curi melibatkan kerugian hampir RM1.24 juta di Taman Mansion, di sini, pada 12 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut pada 1.20 petang hari yang sama.

Menurutnya, dalam insiden yang dipercayai berlaku sekitar jam 12 tengah hari itu mangsa, lelaki berusia 28 tahun tiada di rumah.

“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian harta benda bernilai RM1,236,800 membabitkan 13 utas jam tangan, dua komputer riba, dua tablet, sebuah telefon bimbit, seutas gelang emas dan sebentuk cincin emas putih.

“Antara koleksi jam tangan mewah yang dicuri adalah Rolex GMT Master II bernilai RM230,000 dan IWC Annual Calendar Big Pilot Gold berharga RM200,000.

“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Susulan kejadian itu, Yahaya berkata, polis sedang menjalankan operasi khas untuk mengesan suspek-suspek terlibat melalui gambar yang diedarkan.

“Sehubungan itu, kita menyeru kepada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua suspek tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Norazlina Rais Ahmad di talian 013-628 2176 atau Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05- 254 2222 untuk membantu siasatan,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ditipu pelaburan tidak wujud, ejen insurans rugi RM333,600

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI