Polis tahan lelaki disyaki terlibat kejadian samun di Batu Gajah

IPOH – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, semalam yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad berkata suspek yang berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira 9.50 malam di tepi Jalan Kledang di sini hasil risikan yang dijalankan selepas kejadian berkenaan.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 11.47 pagi ketika mangsa yang berusia sekitar 30-an bersama keluarganya pulang ke rumah sebelum mendapati suspek berada di dalam kediaman mereka.

“Pengadu cuba menahan suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek mengambil sebatang playar dari dalam beg sandang dan menghayunkannya ke arah pengadu, namun terkena tangan kiri isteri pengadu sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata suspek kemudian cuba melarikan diri menggunakan motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan rumah mangsa, namun terjatuh sebelum meninggalkan motosikal serta beg sandang yang mengandungi peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Semalam, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergelutan, termasuk situasi suspek dipercayai cuba melarikan diri dari kediaman berkenaan.

Sementara itu, Md Noor berkata pemeriksaan di kediaman mangsa mendapati tiada barangan dilaporkan hilang, namun tombol pintu hadapan rumah rosak dipercayai akibat diumpil manakala bilik tidur utama dan almari didapati telah diselongkar dan berselerak.

Beliau berkata mangsa dan isterinya telah dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

 


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI