Politik kebencian sukarkan kerajaan laksana dasar pembangunan negara – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan politik kebencian yang terlalu menebal di negara ini meletakkan jentera kerajaan dalam situasi yang tidak mudah untuk melaksanakan dasar-dasar pembangunan negara.

Bagaimanapun, tegas Perdana Menteri, beliau langsung tidak mengambil peduli berkenaan amalan politik sedemikian kerana lebih memikirkan tanggungjawab untuk memajukan negara.

Malah, ujar beliau, politik kebencian itu juga tidak seharusnya mengganggu tugas penjawat awam untuk menjalankan amanah masing-masing.

“Sebab itu kalau lihat di media sosial, ucapan-ucapan pembangkang termasuk di Sungai Bakap (pilihan raya kecil), apa yang mereka tidak panggil saya.

“(Saya digelar) Dajjal, ejen Israel dan Yahudi, jual negara kepada China, semua dia (pembangkang) sebut.

“Saya seringkali jawab sikit-sikit tapi saya tak peduli kerana saya fikir kita punyai tugas. Yang dilontarkan hanya kebencian, fakta tidak dipedulikan sama sekali.

“Apakah ini mengganggu kita? Tidak, ia tidak harus menggangu kita,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihadiri lebih 700 penjawat awam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, negara memerlukan puluhan bilion ringgit untuk bagi pelaksanaan projek prasarana terutama yang melibatkan perkara mendesak dan menyentuh keperluan asas rakyat seperti bekalan air.

Sehubungan itu, tegas beliau, kerajaan tidak mempunyai pilihan dalam pelaksanaan peyelarasan subsidi, membanteras rasuah dan mengelak ketirisan supaya hasil negara dapat digunakan sebaiknya untuk pelaksanaan projek prasarana.

“Ini semua (projek prasarana) menelan belanja puluhan bilion ringgit, (sumber) dari mana…mesti dari hasil yang munasabah dan elak dari kecurian, ketirisan dan rasuah, (dan) kita semua punya tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI