TAPAH – Walaupun 23 undi kelihatan sangat kecil dalam Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning, jumlah itu tetap boleh menjadi petanda amaran awal untuk BN dan PH di kawasan majoriti tumpuan pengundi Cina.
Sebelum ini, Pas hanya mampu meraih sembilan undi di Kampung Coldstream, yang merupakan kawasan tumpuan pengundi Cina. Justeru, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau, meletakkan sasaran untuk menggandakannya kepada 18 undi.
Ternyata, sasaran Dominic tercapai apabila PN berjaya memperoleh 23 undi dalam pilihan raya kecil yang baru sahaja berlangsung.
Nanyang Siang Pau dalam analisisnya melaporkan bahawa Pas boleh dikatakan tidak melakukan usaha signifikan untuk meraih undi Cina, malah membangkitkan isu ladang babi yang menyebabkan pengundi Cina kurang senang.
Dengan latar belakang tersebut, kejayaan Pas meraih 23 undi di Kampung Coldstream memberikan amaran mengenai sentimen tidak puas hati yang wujud dalam kalangan pengundi Cina terhadap PH.
“Undi Cina yang selama ini menyokong DAP telah mula berpecah.
“Jika PH tidak melakukan penambahbaikan dan berpuas hati dengan keadaan semasa, maka mereka berisiko kehilangan sokongan yang lebih besar di kawasan campuran separa bandar.”
Sementara itu, seorang penganalisis, Ted Lee, dalam rencananya di Sinchew Daily, berkata bahawa Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mendapat sokongan 10 peratus pengundi Cina dan hampir 20 peratus sokongan pengundi India.
Katanya, analisis awal itu boleh dilihat sebagai amaran yang diberikan oleh kaum bukan Melayu kepada Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, kaum bukan Melayu sebelum ini memberikan sokongan padu kepada PH, antaranya disebabkan kebimbangan mereka terhadap PN.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon berkata, keputusan pilihan raya kecil di Ayer Kuning menunjukkan dengan jelas undi Cina kembali kepada MCA dan BN.
Beliau berkata, daripada 6,731 pengundi Cina yang berdaftar, kira-kira separuh telah keluar mengundi.
Beliau dipetik oleh Sinchew Daily sebagai berkata bahawa MCA mempunyai lebih 1,000 ahli di Ayer Kuning dan maklum balas yang diterima menunjukkan ramai undi Cina telah kembali menyokong BN dan MCA.
Menurutnya, BN mendapat sokongan kerana menunaikan janji-janji yang diberikan, termasuk mengaturkan usaha menghapuskan ulat bungkus yang menyerang pokok kelapa sawit dengan menggunakan helikopter.
Jelasnya, tindakan itu berjaya meyakinkan penduduk di Kampung Coldstream untuk memberikan sokongan kepada BN.
Calon BN, Mohamad Yusri Bakir, menang di Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi.
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, meraih 11,065 undi, mengatasi Abdul Muhaimin Malek (PN) yang memperoleh 6,059 undi, manakala calon PSM, Bawani KS, mendapat 1,106 undi. -Akhbar Cina