TAPAH – Sebanyak 93.4 peratus anggota dan pegawai polis serta pasangan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pada Selasas.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, proses pengundian awal telah berlangsung di dua pusat mengundi iaitu di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.
Katanya, dua pusat mengundi yang masing-masing mula dibuka pada jam 8 pagi ditutup pada jam 12 tengah hari bagi Dewan Anggerik sementara pusat mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan dibuka sehingga jam 5 petang.
“Proses mengundi awal bagi PRK Ayer Kuning melibatkan seramai 500 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis dan pasangan Polis PGA.
“Peratus keluar mengundi bagi hari mengundi awal adalah sebanyak 93.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Ikmalrudin berkata, pihaknya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori dan pasukan yang menjalankan tanggungjawab dengan amat baik.
“Penghargaan juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Penerangan Malaysia, pengamal media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya lagi.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning melibatkan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia, (PSM) Bawani KS.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lepas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Polis terima 7 laporan, termasuk conteng poster
PRK Ayer Kuning: SPR jangka lebih 90 peratus tunai tanggungjawab undi awal