Projek Jana Wibawa: Muhyiddin mohon lepas tanpa bebas tiga pertuduhan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan supaya Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskannya daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Muhyiddin, 76, memfailkan notis permohonan itu pada Isnin lepas, memohon supaya mahkamah mengetepikan ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan alasan permohonan antaranya pada 15 Ogos lepas Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskannya daripada kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) kerana ia tidak berasas berikutan tidak mendedahkan suatu kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Memandangkan pertuduhan-pertuduhan di bawah seksyen itu termasuk pertuduhan pertama adalah tidak diperuntukkan oleh undang-undang dan tidak berasas, maka saya sesungguhnya percaya bahawa pertuduhan-pertuduhan pengubahan wang haram yang berpaksikan kesalahan prediket juga adalah tidak berasas,” katanya dalam permohonan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Muhyiddin mendakwa tidak wajar dan tidak adil untuk beliau terus menghadapi pendakwaan serta perbicaraan bagi pertuduhan pengubahan wang haram kerana proses perbicaraan yang panjang akan menjejaskan kualiti kehidupannya.

“Oleh itu, saya percaya bahawa hak saya di bawah Fasa 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan akan terjejas sekiranya permohonan ini tidak dibenarkan dan saya dipaksa untuk menghadapi perbicaraan bagi pertuduhan-pertuduhan yang tidak berasas. Saya juga percaya bahawa pihak responden (pendakwa raya) tidak akan diprejudiskan sekiranya permohonan ini dibenarkan,” katanya.

Presiden Bersatu itu berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas terhadap satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

 

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari sama terhadap keputusan itu dan pendengaran rayuan tersebut ditetapkan pada 28 dan 29 Feb 2024.

— BERNAMA


ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI