IPOH – Usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda di Perak melalui pembangunan projek-projek mega dilihat turut membantu merancakkan ekonomi negeri.
Ia termasuk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) serta Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, melalui rancangan yang digariskan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri mahu memastikan tenaga muda tidak berhijrah, sebaliknya bersama-sama membangunkan negeri ini.
“Tujuan kita merangka Pelan Perak Sejahtera 2030 antara lain adalah untuk memastikan rakyat di negeri ini mendapat peluang pekerjaan dengan pendapatan yang berpatutan.
“Kesannya mereka akan berbelanja dan mewujudkan rantaian ekonomi lain termasuk menyumbang kepada peniaga dan usahawan sama ada kecil atau sederhana di Perak.
“Oleh itu, melalui peluang-peluang pekerjaan yang akan ditawarkan, sudah tentu ia membuka ruang kepada semua pihak lain untuk sama-sama menikmati kebaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengurus Besar People of Remarkable Talents (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin serta Pengarah Program KAMU 2024, Mohamad Hamidi Baharuddin.
Ujar Saarani, kerajaan negeri sedang berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan taman-taman industri baru di Perak itu dapat dibangunkan.
Kata beliau, 10 Exco memainkan peranan signifikan berdasarkan portfolio masing-masing termasuk dalam soal menarik pelabur, pembangunan sumber manusia, usahawan serta pendidikan.
Tambah beliau lagi, agensi kerajaan negeri seperti Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) serta PORT juga bersedia untuk membantu para belia yang mahu memajukan diri dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan.
“Kepada mereka yang berusaha untuk membangunkan diri sebagai usahawan, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah.
“Ini kerana setiap usahawan yang berjaya bukan sahaja nanti akan memberi peluang kepada dia untuk memperoleh pendapatan sendiri, tetapi juga akan membuka peluang-peluang pekerjaan baru kepada orang muda yang lain,” katanya lagi.
Di samping itu, Saarani memberi jaminan kesemua projek mega yang sedang dibangunkan di Perak akan diberi keutamaan kepada anak tempatan khususnya dalam soal pengisian jawatan kosong.
Namun ujar beliau, kerajaan negeri tidak mampu menghalang pihak luar untuk merebut peluang itu sekiranya tenaga mahir tempatan bertindak sebaliknya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hampir 5,000 sertai Malam Taqarrub bersama Anak Muda sempena KAMU