Rasuah pegawai TNB, peniaga didenda RM20,000

IPOH – Seorang peniaga didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Rabu atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadapnya tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, RK Sandra Segar, 39, selepas dia membuat pengakuan salah sebaik kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.

Mahkamah turut memerintahkan wang suapan berjumlah RM8,000 disita dalam kes itu dilucuthak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40 (1) (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memberi suapan berjumlah RM3,000 kepada kepada seorang pegawai TNB, melalui individu lain.

Ia sebagai satu balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana tertuduh dengan curang mengambil elektrik ke atas pengusahaan premisnya di sekitar Taiping.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan parkir di sebuah hotel di Taiping, dalam Daerah Larut Matang dan Selama, pada sekitar jam 6.10 petang, 1 Mac 2021.

peniaga denda rasuah RM20,000 mahkamah ipoh pegawai TNB
Peniaga, RK Sandra Segar, 39, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tiga tahun lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 MAC 2024.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memberi suapan sebanyak RM3,500 kepada pegawai TNB sama, melalui individu sama, serta sebagai balasan sama.

Kesalahan itu dilakukan di kafe sebuah hotel di Taiping, dalam Daerah Larut Matang dan Selama, pada sekitar jam 5.50 petang, pada 8 April 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah peruntukan yang sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Pahmi Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Ibrahim juga memerintah penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu. -MG Perak’

 

Artikel Berkaitan:

Bekas inspektor polis sebak, mengaku salah 10 pertuduhan terima rasuah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI