TAPAH – Naib Presiden PAS enggan mengulas lanjut berkenaan laporan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang dikatakan telah direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya PAS Perak.
Datuk Idris Ahmad bagaimanapun berkata, Razman ditugaskan untuk mengetuai gerak kerja jentera Perikatan Nasional (PN) di salah satu kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Kata beliau, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu diberi tanggungjawab berkenaan selaku Timbalan Pengerusi PN Perak.
“Beliau (Razman) termasuk antara 26 ADUN dan Ahli-ahli Parlimen PN yang diminta untuk menjaga PDM masing-masing.
“Oleh itu beliau masih terlibat (dalam gerak kerja kempen PN pada PRK Ayer Kuning). Perjuangan kami tidak ada rehat, dan tidak pernah rehat. Kita berjuang sehingga mati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera PN PRK DUN Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Naib Presiden BERSATU merangkap Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Idris terdahulu ditanyakan pemberita berkenaan laporan yang menyebut Razman telah direhatkan daripada menggalas tugas sebagai Pesuruhjaya PAS Perak.
Ketika ditanya tentang ketiadaan Razman pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Bagan Serai itu memberitahu ketika ini Razman sedang berada di kota suci Makkah.
“Beliau (Razman) ada terlibat dalam Jawatankuasa Jentera PN di PRK Ayer Kuning selaku timbalan,” katanya lagi.
Pada 1 Mac lalu, media melaporkan Razman direhatkan daripada menjalankan jawatan itu susulan beberapa isu yang mengaitkan beliau, termasuk mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).
Laporan media itu menyebut, walaupun tiada sebarang maklumat rasmi setakat ini, namun dikatakan tugas Pesuruhjaya PAS Perak sedang dipangku Idris.
Pada Januari lalu, Razman mengemukakan permohonan maaf kepada Hannah selepas mengakui wujud kesalahan fakta dalam ucapannya yang mendakwa pemimpin DAP tersebut sebagai ‘anak YTL’.
Sebelum itu, Razman turut menyampaikan permohonan maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan.
Tindakan maaf juga dibuat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan ucapannya dalam satu himpunan di Dataran Menara Condong di Teluk Intan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: