IPOH – Penglibatan orang awam serta individu bukan anggota Malim Gunung Perhutanan (MGP) tidak dibenarkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di kawasan Gunung Batu Putih, di Tapah, disebabkan faktor keselamatan.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM) Muzafar Mohamad berkata keputusan itu dibuat memandangkan laluan Trans Beratih yang menjadi fokus pencarian merupakan trek baharu yang tidak diketahui ramai, termasuk dalam kalangan sebahagian anggota MGP sendiri.
“Ramai yang tidak menyedari bahawa bukan semua anggota MGP mengetahui laluan tersebut kerana trek itu baru dibuka, ia bukan laluan biasa pendaki. Jadi risiko keselamatan diutamakan.
“Jika orang awam yang tidak mempunyai pengalaman atau kemahiran memasuki kawasan itu secara beramai-ramai, kita bimbang lebih banyak insiden atau tragedi berlaku berbanding petunjuk baharu yang diperoleh,” katanya ketika dihubungi Bernama mengulas pengumuman tersebut yang dimuat naik menerusi Facebook MGP Perak.
Berdasarkan poster yang dimuat naik di laman Facebook MGP Perak itu, Muzafar berkata SAR pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, membabitkan orang awam yang dijadualkan esok telah dibatalkan berikutan isu keselamatan.
Muzafar berkata kebimbangan itu turut dikongsi pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Perhutanan negeri yang bersetuju supaya penyertaan dalam operasi dikawal bagi mengelakkan risiko kemalangan.
“Perjalanan ke lokasi terakhir mangsa dipercayai berada melalui laluan sebelah Perak yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari setengah untuk berjalan kaki, sekali gus menjadikan operasi pencarian amat mencabar.
“Dalam operasi sebelum ini, pasukan SAR turut menggunakan pengangkutan helikopter untuk menghantar anggota ke lokasi pencarian kerana jarak yang terlalu jauh dan sukar diakses,” katanya.
Mengulas mengenai pendekatan baharu operasi, Muzafar berkata MGP Perak sedang menyelaraskan usaha dengan rakan-rakan daripada MGP Pahang yang merancang memasuki kawasan pencarian melalui laluan Pos Titom di Pahang yang disifatkan lebih dekat ke puncak Gunung Batu Putih.
“Bagaimanapun, usaha itu masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk pegawai daerah dan Jabatan Perhutanan di negeri berkenaan.
“Sebelum ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Team Pelindung di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama komuniti Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom telah beberapa kali menjalankan pencarian di sebelah Pahang, termasuk memasang kamera perangkap serta menelusuri laluan berkemungkinan digunakan mangsa,” katanya.
Selain itu, beliau juga mencadangkan orang ramai yang ingin membantu supaya menyalurkan sumbangan secara terus kepada komuniti Orang Asli di kawasan sekitar Pos Titom dan Pos Lenjang di Pahang yang terlibat membantu usaha pencarian, memandangkan dana operasi dikendalikan di Perak ketika ini mencukupi.
“Penglibatan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli amat penting kerana mereka mempunyai pengetahuan mengenai kawasan hutan dan telah banyak membantu usaha pencarian sejak awal operasi dijalankan,” katanya.
Operasi SAR Jaslinda kini diteruskan secara bersasar dalam skala kecil yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menumpukan kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi petunjuk baharu berhubung kehilangan mangsa. – BERNAMA


