Sasaran 25 teratas CPI perlu libatkan semua pihak – SPRM Perak

PASIR SALAK – Penglibatan semua pihak bagi menjayakan sasaran Malaysia untuk menduduki tangga 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun, amat diperlukan di pelbagai peringkat.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Ahmad Sabri Mohamed berkata, umum mengetahui rasuah dianggap sebagai musuh negara dan bagi membanterasnya ia memerlukan penglibatan dari akar umbi sehingga ke pimpinan tertinggi.

Menurut beliau, tumpuan bukan hanya perlu diberikan kepada sektor awam semata-mata malah juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta serta lapisan masyarakat.

“Untuk sampai ke tahap itu (sasaran tangga ke-25 ke atas dalam CPI) sudah pastinya memerlukan penglibatan semua pihak dan bukan hanya fokus pada sektor awam semata-mata.

“GLC, syarikat swasta serta lapisan masyarakat perlu bersama-sama dalam menjayakan agenda pencegahan rasuah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Program Pemantapan Integriti dan Pencegahan Rasuah Felcra Berhad Wilayah Perak, di Kolej Felcra, Bandar Baru Seberang Perak, Kampung Gajah, di sini, pada Rabu.

Mengulas penglibatan semua pihak dalam menjayakan sasaran berkenaan di Perak, Ahmad Sabri berkata, SPRM Perak mengambil pendekatan dengan melibatkan semua pihak dalam mencegah rasuah.

Jelas beliau, sambutan yang diterima daripada pelbagai pihak di Perak amat memberangsangkan dan hampir ke semua yang ditemui beliau menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian mencegah rasuah.

“Alhamdulillah, meskipun saya baharu sahaja tiga bulan di Perak, maklum balas yang diterima amat baik dari semua pihak malah bila keluar ke tempat awam seluruh rakyat perak mengatakan kesudian menjayakan integriti dan anti rasuah,” katanya.

Berdasarkan laporan Transparency International (TI), Malaysia berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021.

Menurut laporan Transparency International (TI), Malaysia berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ketika melancarkan ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ pada Julai lepas mengumumkan kerajaan menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam CPI bagi tempoh 10 tahun. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI