IPOH – Novelis dan cerpenis yang berasal dari Chemor, di sini, Hafizah Iszahanid, 50, menyifatkan pengiktirafan sebagai Sasterawan Negeri Perak sebagai satu penghormatan yang tidak pernah dijangka.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, menerima anugerah berprestij dalam kesusasteraan negeri itu disifatkan sebagai pemangkin buat beliau untuk terus berkarya dalam dunia penulisan kreatif.
“Saya memang tak jangka sebab saya hantar pencalonan untuk kategori puisi dan cerpen sahaja. Terima kasih kepada pihak yang mencalonkan, dan terima kasih juga kepada barisan juri yang memilih saya untuk anugerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-9 di Galasa Caldwell di sini pada Sabtu.
Pada majlis Hafizah diumumkan sebagai Sasterawan Negeri Perak dengan menerima hadiah utama berupa wang tunai RM30,000, sijil pengiktirafan dan piala iringan yang disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Terdahulu, beliau turut diumumkan sebagai pemenang bagi dua kategori iaitu Puisi menerusi karya ‘Pada Lilin di Atas Kek’ dan kategori cerpen, ‘Secawan Kopi Pahit’.
Mengulas lanjut Hafizah yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarang Berita di agensi Berita Harian berkata, beliau sudah mula menulis sejak berusia 16 tahun melalui program minggu penulis remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kata beliau, walaupun tidak mempunyai latar belakang akademik dalam bidang penulisan kreatif, kerjaya dalam dunia kewartawanan banyak membentuk pengalaman serta perspektif yang diterjemahkan ke dalam karya sastera.
“Penulisan kreatif ini sebenarnya menjadi terapi kepada saya. Sebagai wartawan, setiap hari kita melihat dan berdepan dengan pelbagai isu semasa.
“Apabila ada sesuatu yang ingin saya ungkapkan atau nyatakan pendirian, saya memilih untuk menyalurkannya melalui karya kreatif.
“Asasnya tetap sama iaitu menulis, cuma genre berbeza. Kerjaya dalam dunia kewartawanan memberi banyak pengalaman yang akhirnya menjadi ilham kepada karya-karya saya,” katanya lagi.

Berkongsi tentang pencapaian sepanjang bergiat aktif dalam bidang kesusasteraan, Hafizah berkata, pengiktirafan terbesar yang pernah diterimanya ialah Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) di Bangkok pada tahun lalu.
Selain itu, beliau turut pernah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) selain pernah memenangi Hadiah Utama Sayembara Penulisan Kota Buku Dunia Kuala Lumpur bagi novel Kuala Lumpur di Sebalik Bulan (2021).
Antara karya novel yang pernah dihasilkan Hafizah termasuk, Noktah di Hujung Rindu (2005), Kala Hujan Menitis (2007), Andainya kukembali (2009), Sehiris Bulan (2011), Deru Angin (2012), serta Lelaki Januari (2014). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penggunaan AI dalam sastera tidak perlu ditolak, namun perlu bertanggungjawab


