Sebuah sekolah antarabangsa di Ipoh terima ancaman bom

IPOH – Sebuah sekolah antarabangsa di sini menerima ancaman bom menerusi satu kiriman emel daripada individu yang tidak dikenali, pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan perkara itu daripada pegawai sekolah terbabit kira-kira jam 10.10 pagi tadi.

Katanya, hasil daripada maklumat itu sepasukan anggota dan pegawai polis dibantu dengan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke sekolah berkenaan bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh.

“Hasil pemeriksaan di seluruh bangunan sekolah mendapati tiada sebarang objek meragukan ditemui.

“Selepas keadaan disahkan selamat, semua tenaga pengajar dan pelajar sekolah dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan pada jam lebih kurang 1.15 petang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Justeru Mohd Yusri memberi amaran agar jangan ada mana-mana pihak yang cuba menghantar emel ancaman bom palsu seumpama itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 507, Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis ingin memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menghantar emel ancaman bom palsu dengan sewenang-wenangnya sehingga mendatangkan ketakutan kepada orang awam dan menggugat ketenteraman awam,” katanya lagi.

Media hari ini melaporkan beberapa sekolah antarabangsa di Lembah Klang dan Pulau Pinang menerima ancaman bom menerusi hantaran emel daripada pihak tidak dikenali. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis Perak kumpul dana lebih RM23,00 untuk Tabung Palestin

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI