LENGGONG – Seorang maut, manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori membawa muatan lembu di Selat Pagar di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 12.49pagi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang dinaiki empat orang dipercayai rakan-rakan termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan sebuah lori membawa muatan lembu.
“Sewaktu tiba di lokasi terdapat empat mangsa yang menaiki kereta Proton Saga terlibat dalam kemalangan itu.
“Tiga daripada mereka cedera ringan iaitu wanita dan lelaki masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an serta seorang kanak-kanak lelaki telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum bomba tiba di lokasi.
“Anggota kemudiannya mengeluarkan seorang lagi mangsa lelaki berusia 29 tahun yang tersepit di bahagian penumpang hadapan menggunakan alatan khas menyelamat.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,“ ujarnya.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya jam 2.40 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: