Sijil tauliah BLS jadi nilai tambah prospek selepas dibebaskan

BATU GAJAH – Kursus Asas Sokongan Hayat (BLS) dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) Bertauliah yang disertai prospek Pusat Koreksional Batu Gajah bukan sahaja memberi nilai tambah dari segi pengetahuan, malah berpotensi membantu mereka mendapatkan pekerjaan serta memulakan kehidupan baharu yang lebih baik.

Peserta kursus, Shaq, 36, menyifatkan peluang mengikuti program berkenaan sebagai sesuatu yang amat bermakna kerana ilmu yang diperoleh boleh dimanfaatkan untuk membantu orang lain serta dijadikan kelebihan ketika mencari pekerjaan selepas dibebaskan.

“Saya mendapat tahu sijil ini boleh digunakan untuk mendapatkan pekerjaan. Perkara ini boleh memberi sokongan kepada saya untuk mendapat kerja bagi mengubah hidup saya ke arah yang lebih baik.

“Pada masa sama, saya rasa bertuah dan amat berterima kasih kepada pihak hospital dan pihak penjara kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai sesi pembelajaran resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan BLS ini.

“Ilmu ini boleh saya gunakan apabila berada di luar nanti untuk menyelamatkan orang, ahli keluarga saya, dan saya boleh berkongsi ilmu ini dengan masyarakat lain supaya kita sama-sama mendapat manfaat.

“Sebelum ini, saya ada belajar asas pertolongan cemas masa zaman sekolah dulu. Tapi itu sudah lama, jadi saya tidak ingat. Program ini memberi peluang untuk mengingati semula ilmu yang lama itu,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus BLS dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) Bertauliah di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini pada Rabu.

Seorang lagi peserta, Lyn, 44, pendedahan kepada kemahiran BLS dan AED bukan sahaja memberi peluang kepada prospek mempelajari ilmu menyelamatkan nyawa, malah menjadi bekalan penting untuk membantu keluarga dan masyarakat apabila kembali ke pangkuan masyarakat.

“Kursus BLS dan AED ini saya rasa sangat bagus sebab, pertamanya, kami dapat pengalaman baru. Terutama sekali apabila kita ada kemahiran life support, bukan sahaja untuk masyarakat tetapi ia boleh dibawa keluar nanti untuk keluarga terutamanya.

“Ia sangat bermakna sebab selalunya kita melihat orang lain menyelamatkan orang dan kita hanya menjadi pemerhati sahaja.

“Tetapi apabila kami mendapat pembelajaran yang sangat bagus sebegini, ia memberi idea kepada kami untuk membantu orang lain, masyarakat di luar sana dan juga keluarga apabila kami bebas,” jelasnya.

Katanya, kursus ini amat bermanfaat memandangkan keluarganya mempunyai sejarah sakit jantung dan dia boleh mengaplikasikan ilmu yang dipelajari sebelum bantuan tiba.

“Selalunya, apabila ahli keluarga yang ada sakit jantung mengalami apa-apa serangan, saya terpaksa menunggu dan berasa resah.

“Jika ada ilmu sebegini, saya sendiri boleh memberikan bantuan life support dahulu sebelum bantuan tiba. Itulah yang saya rasa sangat bagus,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Program tahfiz penjara Perak bantu prospek dalami al-Quran, bentuk sahsiah baharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI