SPRM tumpu siasat mutu perbekalan 1BestariNet

BANGI – Mutu perbekalan jalur lebar kepada 8,000 sekolah di seluruh negara merupakan antara tumpuan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai penyiasat perlu melihat pembekalan data atau jalur lebar yang sepatutnya diberikan kepada semua sekolah berkenaan sama ada sampai atau tidak.

Katanya, ini disebabkan kesemua sekolah terbabit sepatutnya diberikan kelajuan jalur lebar tertentu memandangkan tuntutan sudah dibuat oleh YTL Communications Sdn Bhd (YTL) secara berterusan sejak kontrak bermula pada 2011.

“Ini semua kita (SPRM) kena kaji betul atau tidak ia dibekalkan selain kita (SPRM) perlu melihat pembekalan itu dibuat atau tidak.

“Kalau ada tuntutan yang dibuat perlu dipastikan betul atau tidak dan ini menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk sahkan kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan Kali ke-3, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut Azam berkata, siasatan yang dibuat SPRM terhadap perkara itu akan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan rasuah.

Katanya, jika hasil dapatan mendapati ada tuntutan dibuat tetapi jalur lebar berkenaan tidak dibekalkan, perkara itu adalah satu kesalahan.

“Banyak perkara yang kita perlu siasat dan pegawai saya sedang melihat perkara ini. Semua isu yang dibangkitkan semua pihak menjadi tumpuan kita (SPRM) siasat dan ia memerlukan masa lebih panjang.

“Banyak tempat perlu kita lawati kerana kes ini membabitkan 8,000 sekolah, jadi bayangkan kes ini akan mengambil masa sedikit,” ujarnya.

Pada 4 September lalu, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet.

Siasatan itu dibuat selepas SPRM menggeledah pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara.

Hasil serbuan itu, sejumlah dokumen disita dan badan penguatkuasa undang-undang berkenaan sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi yang akan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Siasatan kes itu menjurus kepada dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion.

Pada 2019 Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menjalankan penilaian holistik terhadap keberkesanan projek perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 berikutan pelaksanaannya sebelum ini disifatkan tidak menyeluruh.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya/Virtual Learning Environment (VLE) kepada semua sekolah di bawah KPM.

Audit dijalankan pada Oktober 2018 hingga Mac 2019 itu menyatakan bahawa 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai KPI penggunaan Frog VLE pada 2018, manakala hanya 0.8 peratus daripada 423,566 guru sudah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI