Suami isteri direman seminggu bantu siasatan kes bunuh wanita warga emas

MARANG – Sepasang suami isteri direman seminggu mulai hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh seorang warga emas di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu, semalam.

Perintah reman hingga 8 Nov terhadap mereka dikeluarkan Majistret Nur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret Marang bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Semalam, Bernama melaporkan seorang wanita berusia 65 tahun ditemukan maut dengan 15 kesan tikaman di badannya di dalam longkang di tepi jalan besar berhadapan Pejabat Agama Hulu Terengganu di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu pada 4.35 pagi.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan dilaporkan berkata mangsa yang merupakan pesara kerajaan bersama-sama seorang wanita dipercayai rakan kongsi perniagaannya yang bekerja sebagai tukang jahit, menaiki sebuah kereta jenis Honda Jazz sebelum berlaku pertengkaran antara mereka dipercayai rasa tidak puas hati berhubung pembahagian keuntungan perniagaan.

Mangsa kemudian dikatakan keluar dari kenderaan itu sebelum dilanggar wanita berusia 35 tahun berkenaan yang selepas itu bertindak menikam mangsa sebanyak 15 kali di bahagian badan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Sehubungan itu, polis menahan suspek di rumahnya di Wakaf Tapai, di sini, pada hari sama sebelum menahan suaminya yang berumur 37 tahun dan bekerja sebagai mekanik selaku pemilik kenderaan yang digunakan untuk melanggar mangsa, bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI