Sultan Nazrin sempurnakan pemasyhuran Lenggong Geopark

LENGGONG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan, sini, pada Sabtu.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan berangkat tiba pada jam 11 pagi.

Turut berangkat, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan isteri, Datin Aznee Abu Samah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan isteri, Datin Che Fauziah Ahmad.

Sementara itu, Nik Nazmi dalam sembah ucapannya berkata, NRES selaku Peneraju dan Pengerusi  Jawatankuasa Geopark Kebangsaan memberi sokongan penuh  terhadap usaha pembangunan geopark di dalam negara kita.

Menurutnya, sejak tujuh tahun lalu, NRES melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dan Jawatankuasa Pelaksana Geopark berjaya mengiktiraf 11 geopark kebangsaan iaitu Jerai, Kedah dan Lembah Kinta, Perak pada tahun 2017; Labuan, Wilayah Persekutuan dan Lenggong, Perak (2021); Gombak-Hulu Langat, Selangor, Stong, Kelantan dan Sarawak Delta, Sarawak (2022); dan Kenyir, Terengganu, Perlis dan Lipis, Pahang (2023).

Katanya, Malaysia turut berbangga kerana memiliki dua UNESCO Global Geopark iaitu Langkawi, Kedah (2007) dan Kinabalu, Sabah (2023).

“Peruntukan RM4 juta telah diluluskan kepada JMG Perak di bawah Rolling Plan pertama (RP1) hingga ketiga (RP3) (2021 hingga 2023) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi pelaksanaan kajian dan penyelidikan aspek geologi di Lenggong.

“Kementerian turut memperuntukkan RM1.1 juta melalui Projek Berskala Kecil di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi menaiktaraf infrastruktur di Lenggong Geopark.

“Hasil kerja naik taraf seperti pemasangan struktur promosi iaitu papan iklan (billboard), penunjuk arah, mercu tanda dan papan maklumat di geotapak, tapak biodiversiti, tapak sejarah dan budaya serta pusat penerangan komuniti Lenggong Geopark ini dapat menarik kedatangan pelancong,” katanya.

Beliau berkata, kementerian dengan kerjasama JMG Perak dan Penasihat Lenggong Geopark, Professor Datuk Dr Mokhtar Saidin telah berjaya membangunkan Galeri Lenggong Geopark.

“Pembangunan galeri yang ditaja Yayasan Al-Bukhary menunjukkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu pembangunan Lenggong Geopark.

“Galeri ini telah merekodkan kehadiran 2,500 pengunjung dalam tempoh dua bulan setengah sejak dibuka pada 16 Disember 2023 hingga Februari lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jurupandu Geopark atau geoguide amat penting dalam pembangunan sesebuah geopark kerana mereka boleh menyampaikan fakta saintifik dan nilai warisan kepada pengunjung.

“Justeru, kementerian menerusi JMG sedang bekerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mewujudkan Lesen Geoguide bagi kawasan Geopark di bawah Akta Industri Pelancongan, 1992 (Akta 482).

“Sejumlah 229 orang geoguide di semua geopark kebangsaan telah lulus dalam kursus Eco-Host anjuran MOTAC dan JMG iaitu salah satu pra-syarat dalam mewujudkan lesen geoguide. Di Lenggong Geopark sendiri seramai 23 orang geoguide telah berjaya lulus dalam kursus tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pemasyhuran Geopark Kebangsaan ini akan menambahkan semangat semua pihak terlibat untuk bersama-sama menggembleng tenaga memelihara serta meningkatkan kelestarian Lenggong bagi mencapai matlamat iaitu mengangkat Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Galeri Lenggong Geopark, sumber rujukan utama pelancong

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI