IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Perak Tahun 1446H/2025 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.
Majlis dimulakan dengan tazkirah khas Nuzul Al-Quran oleh Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Azmil Hashim diikuti bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil sebelum baginda berbuka puasa bersama 1,000 jemaah kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk daripada dana zakat berjumlah RM12.84 juta kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 42,825 orang penerima terdiri daripada asnaf, fakir dan miskin di seluruh negeri Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif, Syamsul Hazeman Md Salleh menerusi satu kenyataan memaklumkan, penerima bantuan Hari Raya Aidilfitri dipilih daripada senarai asnaf, fakir dan miskin yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri Perak.
Katanya, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan hemodialisis asnaf, fakir dan miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri di bawah dana zakat MAIPk.
Sebelum berangkat pulang, baginda berkenan menunaikan solat Isyak dan solat tarawih secara berjemaah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan rasmi Masjid Ar-Raudhah Lekir