Sultan Perak berkenan biaya makan tengah hari 7,100 banduan

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan hidangan makanan tengah hari istimewa kepada 7,100 banduan dan tahanan di negeri ini, pada Jumaat.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, kurniaan yang dibiayai Sultan Nazrin itu bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-67.

Menurutnya, program yang dikelolakan oleh Jabatan Penjara Perak itu melibatkan banduan dan tahanan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting serta Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah.

“Atas sifat prihatin dan ehsan baginda terhadap kebajikan banduan dan tahanan di Negeri Perak, baginda menzahirkan perkenan hasrat untuk membiayai hidangan makanan tengah hari Jumaat, 3 November.

“Kurniaan ini melibatkan seramai 7,100 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-67 Sultan Nazrin di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara, Datuk Seri Ayop Hashim.

Tambah Mohd. Zahidi, beliau akan mewakili Sultan Nazrin di Penjara Taiping manakala Orang Kaya Menteri Paduka Tuan (Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama) akan mewakili baginda di Pusat Koreksional Kamunting.

Katanya, sementara Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja (Orang Besar Jajahan Kinta) mewakili Sultan Perak di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah manakala Toh Paduka Indera (Orang Besar Jajahan Batang Padang) pula di Penjara Tapah.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-67 itu dimulakan dengan majlis bacaan surah yassin dan doa selamat yang akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada waktu Solat Jumaat,

Katanya, majlis sama turut diadakan di semua masjid-masjid daerah di seluruh negeri dengan diketuai orang besar jajahan dan pegawai daerah.-MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI