IPOH – Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Perak melancarkan Program Jelajah 1 Rumah 1 Jalur Gemilang di 12 daerah di Perak melibatkan 100 peserta dengan 46 buah kenderaan bermula hari ini.
Pengarah JAPEN Perak, Azrul Hasan berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan setiap rumah serta premis mengibarkan Jalur Gemilang diadakan menyertai bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM2026).
Menurutnya, program berkenaan turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan selain penyertaan beberapa kelab motosikal yang dijemput bagi memeriahkan jelajah tersebut.
“Kempen ini menggalakkan setiap rumah sekurang-kurangnya mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja di rumah tetapi di setiap premis, sekolah, bangunan swasta dan sebagainya supaya kita dapat menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

“Kita berharap inisiatif itu juga diharap dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kecintaan kepada negara,“ katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelepasan konvoi Jelajah 1 Rumah 1 Jalur Gemilang di pekarangan Jabatan Penyiaran Malaysia Perak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azrul berkata, kerajaan negeri dan JAPEN turut menganjurkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Negeri Perak Tahun 2026 dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM52,500.
Katanya, pertandingan itu diadakan bertujuan menggalakkan pelbagai lapisan masyarakat untuk mengekspresikan rasa cinta akan negara menerusi kreativiti menghias premis masing-masing dengan tema kemerdekaan.
“Pertandingan ini dibuka secara meluas dan merangkumi lima kategori iaitu sekolah menengah, sekolah rendah, pintu gerbang, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan dan swasta serta kategori individu.

“Alhamdulillah kita sudah buka penyertaan sejak 27 Julai dan telah menerima lebih 50 penyertaan. Mungkin akan mencecah sehingga 100 penyertaan memandangkan nilai hadiah yang ditawarkan lebih besar,“ ujarnya.
Azrul berkata, juara bagi setiap kategori bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta sijil dan plak manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,500 dan RM2,000 beserta sijil dan plak.
Tambahnya, tarikh akhir pertandingan tersebut adalah pada 20 Ogos dan pengumuman pemenang bagi pertandingan ini adalah pada 31 Ogos ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


