Tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan – Fahmi

IPOH – Kerajaan mengulangi komitmen untuk terus memastikan tiada mana-mana rakyat tercicir daripada sebarang arus pembangunan tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan wilayah.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam membina Malaysia yang lebih makmur, bersatu padu dan sejahtera.

Katanya, komitmen itu dizahirkan melalui pendekatan pembangunan yang adil, saksama dan inklusif kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Kesejahteraan yang dibina bukan sekadar diukur melalui pencapaian ekonomi, malah diterjemahkan menerusi peningkatan kualiti hidup, peluang yang lebih saksama serta pengagihan manfaat pembangunan yang menyeluruh.

“Inilah komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada seorang pun tercicir daripada arus pembangunan demi membina Malaysia yang lebih makmur, bersatu padu dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Ipoh, pada Ahad.

Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berkata, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan setiap kemajuan dan kemakmuran negara dapat dirasai bersama tanpa mengira kaum, agama, wilayah mahupun latar belakang.

Beliau berkata, sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini juga akan disemarakkan dengan pelbagai pengisian termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang diteruskan sebagai platform menyemai semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Walaupun sambutan tahun ini dilaksanakan secara berhemah dengan mengoptimumkan sumber yang ada, semangat patriotisme dan penghayatan terhadap erti kemerdekaan tetap menjadi keutamaan.

“Inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ juga terus dipergiatkan bagi menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan kebanggaan negara,’ katanya lagi.

Pada masa sama Fahmi berkata, kepelbagaian masyarakat di negara ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan sejarah, malah ia menjadi asas kepada semangat perpaduan, saling menghormati dan keharmonian yang terus dipupuk hingga ke hari ini.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat untuk menghargai nikmat yang diwariskan ini dengan terus memelihara perpaduan, memperkukuh keharmonian dan mempertahankan kedaulatan negara agar Malaysia terus kekal aman, makmur dan dihormati oleh masyarakat dunia,” ujarnya.

Terdahulu pada majlis, turut diperdengarkan lagu tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 bertajuk ‘Aku Berjanji’, nyanyian penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir.

Ia turut dimeriahkan dengan persembahan pergendangan tradisional Melayu, Cina, India dan Gong Borneo oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selain persembahan koir lagu patriotik oleh pelatih ILKKM SAS bersama artis Jabatan Penerangan (JAPEN). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Berhati-hati hasilkan imej Jalur Gemilang guna AI – Fahmi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI